Persatuan gesa peniaga pasar malam guna platform e-bayaran


Noel Achariam

Peniaga pasar malam perlu berubah mengikut peredaran masa bagi memudahkan pelanggan dengan menggunakan e-bayaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2023.

PENJAJA dan peniaga pasar malam perlu menggunakan platform e-bayaran jika mahu bersaing dengan perniagaan lain, kata Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL).

Presiden PMKL Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata peniaga perlu berubah mengikut peredaran masa bagi memudahkan pelanggan.

“Peniaga perlu mengubah persekitaran mereka (urus niaga digital).

“Kami mahu semua pengusaha pasar malam menggunakan platform e-bayaran. Mereka tidak perlu menyimpan wang dalam tin Milo tetapi memindahkannya terus ke akaun bank mereka.

“Ada antara mereka masih menulis jumlah jualan dalam buku.

“Ini supaya mereka mempunyai kunci kira-kira yang betul, malah boleh memohon pinjaman dan menjalankan urus niaga lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Gulam berkata pada masa ini tidak lebih 10% peniaga menjalankan urusan secara dalam talian.

“Beberapa peniaga sudah mengambil inisiatif untuk melakukannya.

“Kami merancang untuk mendapatkan kira-kira 40% ahli bagi memulakan transaksi digital menjelang akhir tahun ini.”

PMKL ditubuhkan pada 2014, di mana sebelum ini mereka mempunyai pasar malam di 99 lokasi dan selepas pandemik ia kini berada di kira-kira 70 kawasan.

Mereka mempunyai 14,000 ahli yang menjual pelbagai barangan dan makanan serta kira-kira 70 penganjur untuk menguruskan pasar malam.

Bagaimanapun, Gulam berkata ia tidak wajib sebaliknya menjadi pilihan tambahan kepada peniaga selain daripada menerima secara tunai.

“Kami merancang untuk mewujudkan kesedaran mengenai platform ini dengan mendidik para peniaga.

“MCMC juga membekalkan peranti untuk transaksi dalam talian.”

Gulam berkata sebelum ini pasar malam dikenali sebagai pasar berasaskan komuniti, justeri menjadi hasrat mereka untuk menaik taraf ke peringkat seterusnya.

“Selepas pandemik, kita mempunyai banyak platform digital untuk memesan makanan dalam talian,” katanya.

“Ada yang masih tidak keluar (membeli makanan). Perkhidmatan dalam talian menguasai 30% perniagaan makanan pasar malam.

“Sebelum pandemik, semua adalah perniagaan fizikal tetapi selepas itu kami sedar kehilangan pelanggan kepada platform dalam talian”

Naik taraf pasar malam sebagai tarikan pelancong

Gulam berkata mereka juga sedang mengkaji untuk menaik taraf beberapa pasar malam agar menjadi tarikan pelancong seperti Jalan Alor dan Jalan Petaling.

“Bukan semua, mungkin dapat lima atau 10 pasar malam untuk dijadikan tarikan pelancong. Ini menguntungkan penjaja dan peniaga.

“Kita perlu bekerjasa dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Tourism Malaysia.

“Apa yang peniaga perlukan adalah modal, mungkin kerajaan boleh beri pinjaman mudah atau geran.

“Kami mahukan peningkatan dari segi kesamaan, kebersihan dan makanan yang enak.” – 21 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen