Skim insurans Selangor perlu butiran lanjut, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Aktivis yang jga ahli politik Abdul Razak Ismail berkata banyak yang perlu dijelaskan berhubung skim Insurans Hayar Selangor. – Gambar laman web Insan, 6 September, 2023.

SELANGOR mesti mendedahkan lebih lanjut mengenai skim insurans percumanya yang mendaftarkan penduduk secara automatik, kata aktivis dan ahli politik Abdul Razak Ismail.

Razak berkata masih banyak persoalan yang belum terjawab mengenai Insurans Hayat Selangor walaupun Menteri Besar Amirudin Shari menafikan bahawa tiada unsur kebocoran data melibatkan penduduk Selangor di bawah skim insurans hayat.

Bekas setiausaha kumpulan veteran PKR Otai Reformis 1998 berkata jumlah dalam skim itu tidak bertambah.

“Skim ini diperkenalkan pada November 2022, dan sehingga kini dikatakan enam juta orang telah mendaftar di bawah skim itu, tetapi apa yang membingungkan ialah hanya 44 orang yang membuat sebarang tuntutan. Bunyinya tidak betul, bukan?” soal Razak, yang juga setiausaha agung Parti Hijau.

Beliau merujuk kepada laporan Sinar Harian yang mendakwa 44 individu telah menuntut skim insurans Insan mereka setakat Ogos 2023.

Razak juga membidas syarikat insurans AmGeneral Insurance berhubung dakwaan kebocoran data peribadi berjuta-juta penduduk Selangor yang berdaftar di bawah skim insurans itu.

Beliau berkata ramai yang berdaftar untuk skim insurans itu tanpa persetujuan mereka.

“MB Selangor Amiruddin berkata data itu berdasarkan maklumat daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya tetapi data SPR hanya menunjukkan nama dan nombor pengenalan anda. Tiada alamat padanya.

Beliau juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan kebocoran data itu.

Razak berkata Amirudin tidak boleh begitu sahaja menepis dakwaan kebocoran data tanpa memberi penjelasan jelas tentang cara skim itu berfungsi.

“Adakah penduduk di Sabak Bernam atau Tanjung Sept tahu mengenai skim itu atau mereka diinsuranskan? Kita yang tinggal di kawasan bandar mungkin ada akses internet tetapi orang di luar bandar?

“Oleh itu, kerajaan Selangor perlu memberitahu rakyat. Menafikan kebocoran data tidak mencukupi,” tambahnya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata beliau akan meminta pengendali sistem Insan menjelaskan proses prapendaftaran skim berkenaan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2023.

Laporan polis

Pada 23 Ogos, Amirudin menafikan dakwaan kebocoran data atau penyalahgunaan di bawah skim insurans hayat negeri yang tular di media sosial.

Beliau berkata data berkenaan adalah data awam yang boleh dibeli, sambil menambah tiada keuntungan dibuat dalam pelaksanaan dasar itu atau digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya negeri baru-baru ini.

Tambah Amirudin, beliau akan meminta pengendali sistem Insan menjelaskan proses prapendaftaran, yang dilakukan bagi memudahkan pelaksanaan dasar itu.

Lapan laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Sebaliknya, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah melancarkan siasatan berhubung dakwaan kebocoran atau penyalahgunaan data berkaitan skim insurans itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil berkata jabatan itu mempunyai kuasa penuh di bawah undang-undang untuk menjalankan siasatan terhadap sebarang insiden atau kes berkaitan kebocoran, penyalahgunaan atau kompromi data peribadi.

Pada Isnin, ketua pembangkang Hamzah Zainuddin mempersoalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdiam diri berhubung kontroversi itu, menggesa beliau menjelaskan perkara itu.

Anwar, yang juga menteri kewangan, masih membisu berhubung isu itu, kata Hamzah.

“Saya rasa pelik bahawa menteri kewangan berdiam diri apabila pelanggaran jelas berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamzah berkata Anwar mesti menjelaskan mengapa sebuah firma swasta dilantik untuk menguruskan program itu dan bukannya Selgate, sebuah syarikat berkaitan kerajaan Selangor yang mempunyai sumber kewangan dan kepakaran untuk mengendalikan inisiatif sedemikian. – 6 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen