Data peribadi digodam, Australia pinda undang-undang siber


KERAJAAN Australia mengumumkan pindaan terhadap undang-undang keselamatan sibernya susulan beberapa kejadian pencerobohan data utama.

Menteri Dalam Negeri Clare O’Neil pada Isnin memaklumkan penggodaman Optus dan Medibank 2022 mendedahkan kelemahan berkaitan undang-undang siber.

Penyelaras kebangsaan baharu untuk keselamatan siber akan dilantik bagi mengetuai pelaksanaan strategi itu dengan kerajaan diberi kuasa untuk campur tangan ekoran kejadian pencerobohan data, lapor agensi berita Xinhua.

Gergasi telekomunikasi Optus pada September mendedahkan data melibatkan 9.8 juta pelanggan mungkin terjejas dan disifatkan antara pencerobohan data terbesar dalam sejarah Australia.

Sebulan kemudian penyedia insurans kesihatan Medibank mendedahkan penggodam sudah mengakses 9.7 juta maklumat peribadi pelanggannya.

“Seorang individu dalam perkhidmatan awam akan menyelaraskan tindak balas terbabit dan memastikan kita dapat menghalang dan mencegah serangan siber,” beliau memberitahu radio Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Kerajaan berharap untuk melantik seseorang dalam tempoh sebulan bagi membangunkan pelan tindak balas. – Bernama, 27 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen