Suruhanjaya Diraja perlu siasat kecurian data peribadi


LAPORAN media Sinchew pada 15 September yang mendakwa sistem e-penyata gaji kerajaan dibolos oleh penjenayah siber yang mungkin mencuri satu juta set data peribadi serta dua juta slip gaji amat membimbangkan.

Jika benar, ia bermaksud segala data peribadi penjawat awam termasuk ahli Jemaah Menteri dicuri dan bakal dijual penjenayah siber.

Insiden terbaharu ini satu pencerobohan yang menjejaskan keselamatan peribadi bukan sahaja penjawat awam malah juga pimpinan utama negara. Ia satu krisis keselamatan siber negara yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Ini merupakan insiden kecurian data berskala besar keempat yang dilaporkan bagi tahun 2022 dan dianggarkan lebih 25 juta set data peribadi dicuri sehingga kini untuk tahun ini sahaja.

Oleh itu, saya menggesa perdana menteri untuk mengambil isu ini dengan teramat serius dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat segala insiden kecurian data peribadi di Malaysia dalam lima tahun kebelakangan ini.

Pada masa yang sama, perdana menteri perlu mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan untuk segera melakukan audit keselamatan siber (cyber security audit) bagi mengenal pasti dan menutup segala kelompongan atau eksploit keselamatan siber yang membolehkan penjenayah siber terus mencuri data peribadi rakyat Malaysia.

Perdana menteri juga perlu beri penjelasan tentang perkara ini pada sidang Parlimen yang akan datang.

Menteri kewangan dan menteri komunikasi dan multimedia pula perlu meneliti satu mekanisme denda atau hukuman yang lebih berat terhadap pengendali pangkalan data peribadi yang gagal menjamin keselamatan data dalam kendalian mereka, serta satu mekanisme pampasan atau ganti rugi bagi semua mangsa jenayah kecurian data peribadi.

Ini bagi menghantar mesej yang amat jelas mana-mana pihak yang mengendali data peribadi wajib dipertanggungjawab sekiranya keselamatan data tersebut terjejas dan mereka yang menjadi mangsa kecurian data wajib mendapat keadilan.

Apabila kita sedar tiga daripada empat insiden kecurian data peribadi tahun ini dipercayai melibatkan agensi kerajaan, maka kerajaan mesti meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 termasuk dengan tidak mengecualikan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri daripada pemakaian akta ini.

Pindaan ini juga mesti mengambil kira perkara utama yang disenaraikan di dalam Kertas Perundingan Awam No. 01/2020 yang diterbitkan pada 14 Februari 2020 dan semua pihak termasuk pembangkang perlu dibabitkan sebelum ia dibentang di Parlimen pada Oktober ini.

Data peribadi kita adalah aset dan khazanah negara. Ia mesti dilindungi sebaik mungkin.

* Fahmi Fadzil adalah ahli Parlimen Lembah Pantai, pengarah komunikasi Pakatan Harapan dan Ketua Penerangan Keadilan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen