AS desak TikTok jual kepentingan atau diharamkan, kata laporan


Aplikasi perkongsian video TikTok milik China dilancarkan pada 2016, menjadi sangat popular di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mencecah 755 juta pengguna global pada 2022. – Gambar AFP, 16 Mac 2023.

AMERIKA Syarikat (AS) menuntut pemilik TikTok dari China supaya menjual kepentingan mereka dalam aplikasi perkongsian video popular itu atau berhadapan risiko medium itu diharamkan di AS, lapor sebuah media tempatan pada Rabu.

Tuntutan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing AS (CFIUS) yang diketuai oleh Perbendaharaan, lapor Agensi Anadolu.

Menurut laporan yang memetik eksekutif Tik Tok, 60% saham syarikat induk TikTok ByteDance dimiliki oleh pelabur global, pekerja (20%) dan pengasasnya (20%).

TikTok dalam reaksi balasnya berkata penjualan itu tidak akan menangani risiko keselamatan yang dibimbangi AS.

“Jika melindungi keselamatan negara merupakan objektif, pelupusan itu tidak menyelesaikan masalah, perubahan dalam pemilikan tidak akan mengenakan sebarang sekatan baharu ke atas aliran data atau akses.

“Cara terbaik untuk menangani kebimbangan mengenai keselamatan negara ialah dengan perlindungan data dan sistem pengguna AS yang telus dan berasaskan AS, dengan pemantauan, pemeriksaan dan pengesahan pihak ketiga yang mantap yang sudah pun kami laksanakan,” kata jurucakap TikTok Brooke Oberwetter dalam satu kenyataan.

White House masih belum mengulas mengenai laporan itu.

Aplikasi perkongsian video milik China itu yang dilancarkan pada 2016, menjadi sangat popular di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mencecah 755 juta pengguna global pada 2022.

Dua pertiga daripada remaja Amerika kini adalah pengguna TikTok.

Aplikasi itu dikritik kerana ia membolehkan kerajaan China mengakses data peribadi sensitif pengguna, termasuk lokasi dan sejarah imbasan. – Bernama, 16 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen