Rakyat zahir semangat patriotisme, cintakan negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 


Lautan manusia membanjiri setiap sudut di sekitar Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi sambutan tanggal bersejarah, genap 66 tahun negara mencapai kemerdekaan hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2023.

KIBARAN Jalur Gemilang mewarnai pekarangan dan suasana sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang disertai pelbagai lapisan masyarakat bersemangat patriotisme di Dataran Putrajaya hari ini bagi menzahirkan rasa kecintaan kepada negara. 

Memecah keheningan seawal 1 pagi, lautan manusia membanjiri setiap sudut di sekitar Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi sambutan tanggal bersejarah, genap 66 tahun negara mencapai kemerdekaan hari ini. 

Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, ia bertepatan dengan kerangka visi baharu buat negara Malaysia MADANI, yang didukung Kerajaan Perpaduan dan dilihat berupaya menyemarakkan semangat perpaduan yang terjalin sekian lama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut melambai ke arah orang ramai dan disambut dengan sorakan pengunjung.

Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter Airbus H225M (EC 725), AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Ridhwan Mohd Asri.

Ketibaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi paluan gendang dan disahut laungan “Malaysia MADANI” sebanyak tiga kali, bergema di Dataran Putrajaya yang kali terakhir menjadi hos sambutan hari bersejarah itu pada 2019.

Selain perdana menteri, dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu.

Sebagai langkah mempromosi warisan batik Malaysia, Jemaah Menteri dan tetamu kehormat antaranya memperagakan batik khas bermotifkan bunga raya dan belang Harimau Malaya rekaan Kraftangan Malaysia.

Acara sambutan yang melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.

Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, serentak kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil.

Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, justeru ikon sukan Muhammad Haikal Roslan yang merupakan pemenang pingat emas bawah 25 tahun perseorangan Kejohanan Asian Bowls ke-12 2023 diberi mandat mengetuai 66 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum serta menonjolkan elemen perpaduan.

Lebih istimewa, 36 daripada pembaca ikrar itu melafazkan ikrar berkenaan menggunakan bahasa isyarat, seterusnya diikuti dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali.

Menyemarakkan suasana sambutan, hadirin disajikan dengan persembahan lagu tema “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” ciptaan Affan Mazlan dan digubah Mokhzani Ismail serta formasi manusia dengan kibaran bendera pelbagai warna berdasarkan lagu itu ditampilkan 1,500 pelajar sekolah dari Lembah Klang.

Bagi segmen perpaduan dan kesejahteraan, penonton dipersembahkan dengan lagu “Kurik Kundi” olahan baharu nyanyian beberapa artis iaitu Nadeera Zaini yang mewakili kaum Melayu di Semenanjung, Suki Low (kaum Cina), Roshini Balachandran (kaum India), Zizi Kirana (masyarakat Sabah) dan Hazraniza Dollah (masyarakat Sarawak) yang menandakan penyatuan rakyat.

Tumpuan seterusnya terarah kepada persembahan aksi pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior, antaranya menampilkan lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield dilakukan Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin yang menggunakan Kawasaki Scrambler 250cc serta pemilihan 66 motosikal secocok dengan ulang tahun kemerdekaaan ke-66 tahun negara.

Dataran Putrajaya bergemuruh memberi penghormatan kepada Saidatul Husna yang merupakan birthday girl hari ini termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang sama-sama berdiri dan bersorak. 

Segmen cabaran dan ketangkasan pula mengetengahkan kemahiran anggota pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan aksi terjun tepat dari ketinggian 4,000 meter yang kemudiannya mempunyai tempoh hanya beberapa saat untuk membuka payung terjun sebelum mendarat di hadapan khemah utama, sebelum berjaya mendarat di hadapan khemah utama walaupun berdepan cabaran permukaan jalan yang licin berikutan hujan awal pagi tadi.

Pada sambutan kali ini, persembahan khas Gegar MADANI disertai kira-kira 800 penari dan 600 pelajar sekolah di samping irama pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum melatari persembahan itu.

Perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini terdiri daripada Kontinjen Kenegaraan; Perpaduan Malaysia MADANI; Ekonomi; Perbankan; Telekomunikasi; Industri Kreatif dan Penyiaran; Sukan Negara; Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

Mendahului kontinjen kenegaraan ialah perarakan pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) diikuti kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersaiz 24.4 meter x 12.2 meter oleh 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan disusuli perarakan 334 pembawa Jalur Gemilang.

Turut menarik perhatian, perarakan kontinjen Perpaduan Malaysia MADANI yang dianggotai 400 peserta daripada pelbagai kaum dan etnik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan memperagakan pakaian pelbagai etnik di negara ini, diterajui Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud. 

Perbarisan kontinjen ekonomi pula disertai pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat terkemuka yang berperanan dalam memacu ekonomi negara termasuk Petronas, DRB HICOM dan FGV Holdings Bhd.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang turut menyertai perbarisan kontinjen ekonomi memperagakan model-model kenderaan elektrik antaranya Proton X90 Hybrid, Perodua Ativa Hybrid, GWM Ora Good Cat dan Tesla Model Y Performance, selari komitmen kerajaan dalam membangunkan industri automotif termasuk kenderaan elektrik dan komponen.

Watak siri animasi popular Malaysia termasuk Mechamato, Ejen Ali, Boboiboy dan Didi turut menyerikan lagi sambutan tahun ini dengan pelbagai aksi menerusi perarakan kontinjen industri kreatif dan penyiaran, manakala Agrobank tampil dengan perarakan 30 kereta antik. 

Atlet sukan yang mengharumkan nama negara pada pelbagai temasya antarabangsa juga tidak ketinggalan turut serta pada perarakan sambutan bersejarah ini.

Semasa kontinjen perbarisan dan perarakan lalu di hadapan Pentas Diraja, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang ceria berdiri tidak henti-henti memberikan ‘flying kiss’ dan ‘mini love’ sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama dengan tetamu kehormat lain.

Dalam kontinjen kesejahteraan, kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menarik perhatian ramai apabila turut membariskan aset dan jentera pelbagai fungsi jabatan itu antaranya jentera bomba antik jenis Dennis dan jentera bomba antik Land Rover yang pernah digunakan sekitar 1950-an.

Bagi kontinjen keselamatan negara, Kontinjen PDRM diketuai Ketua Polis Negara Razarudin Husain, mendahului detachment Unit Berkuda bersama pegawai-pegawai kanan yang turut menunggang lebih 50 ekor kuda antaranya jenis Arabian, Warmblood dan Polo.

Agong dan Raja Permaisuri Agong turut merakamkan aksi Razarudin menunggang kuda yang melintas di hadapan Pentas Diraja menggunakan telefon bimbit.

Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan kontinjen terbesar dalam perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan kali ini seperti biasa tidak menghampakan orang ramai dengan membariskan aset-aset ketenteraan yang canggih.

Lebih 100 aset ketenteraan milik ketiga-tiga cabang ATM iaitu Angkatan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipertontonkan hari ini antaranya treler membawa misil dan meriam, kereta perisai Gempita dan Adnan.

Sejumlah 50 aset udara ATM menguasai ruang udara Putrajaya pada pertunjukan yang diterajui TUDM antaranya pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM; F/A-18D Hornet dan BAE Hawk; pesawat pengangkut A400M; dan C130 Hercules termasuk helikopter Tentera Darat dan TLDM.

Ruang udara Putrajaya juga digegarkan dengan pertunjukan udara gabungan formasi 25 helikopter sekali gus memaparkan kebolehupayaan dan kesiagaan pasukan keselamatan negara hasil gabungan kemahiran dan kepakaran khas bagi pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Aksi berani juruterbang di dalam kokpit pesawat pejuang ketika membuat pertunjukan udara yang mendebarkan itu turut dipertontonkan menerusi siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Lagu tema “Malaysia MADANI” dan “Jalur Gemilang” yang dipersembahkan Bunkface dan antaranya disertai Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Penjara serta Istana Budaya mengakhiri persembahan sambutan yang memukau para hadirin. – Bernama, 31 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen