Kesepaduan nasional dan kemerdekaan


ESOK, 31 Ogos  kita akan meraikan kemerdekaan tanah air ke-63. Sempena peristiwa besar ini, marilah kita mengukuhkan kesepaduan nasional kita.

Jangan sesekali membiarkan kesepaduan kita, sebagai sebuah negara dan bangsa, merapuh dan meluntur.

Kita mesti hidup bersama dengan aman dan sejahtera, sekalipun dikeliling seribu satu perbezaan dan kelainan. 

Malaysia adalah tanah pertemuan pelbagai budaya, agama, dan keturunan. 

Ia dari dulu lagi adalah tempat yang didatangi pedagang, pelaut, dan pengembara dari seluruh dunia. 

Kedatangan semua imigran ini telah diterima dengan terbuka oleh masyarakat pribumi.

Mereka menemui formula untuk hidup bersama-sama, membina, dan memajukan tanah air ini dengan rukun damai.

Formula itu ialah bermuafakat.

Dengan bermuafakatlah, pemimpin Melayu, India, Cina dan ethnik lain serta Bumiputera dan anak negeri  Sabah dan Sarawak, merunding dan memerah kudrat mencari ikhtiar terbaik untuk membina dan bangunkan tanahair ini.

Kemerdekaan kita tidak dikecapi melalui konflik persenjataan atau pertumpahan darah berpanjangan, tetapi ditebus dan diisi sarat dengan semangat permuafakatan yang tulen. 

Kerana itu, acapkali Malaysia berhadapan dengan pelbagai krisis, atau suhu politik yang meninggi, atau saat tampilnya gerombolan rasis dan cauvenis tidak bertanggungjawab yang cuba merobek dan merampas kesepaduan nasional, kita mendepaninya dengan cara kita. Dengan jalan berpakat dan dengan semangat muafakat. 

Muafakat Malaysia bukannya “win some, lose some”, tetapi “everyone win and no one lose”.

Jika tidak, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

Muafakat Malaysia tidak boleh dicapai melalui paksaan dan penguatkuasaan undang-undang.

Kesetiaan pada tanah air adalah kualiti yang lahir dari hati tetapi ini bukan tugas yang mudah.

Ia adalah perjalanan yang payah tetapi ini sahajalah satu-satunya jalan untuk Malaysia. 

Ada tiga cara bagaimana Muafakat Malaysia ini boleh diperkukuhkan. 

Pertama, kita mesti menolak ideologi yang menghalang kita meraikan perbezaan dan kemajmukan. 

Sebarang fahaman yang ekstrem, sempit, dan bercanggah dengan kepentingan dan perpaduan nasional mesti kita hindari secara total.

Kedua, mari kita teguh mengiktiraf kerencaman budaya dan agama, menerima dan menghormatinya.

Tiada satu budaya lebih tinggi daripada budaya lain. Akurlah Malaysia memang sebuah negara yang berwajah majmuk, dan kemajmukan itulah yang menjadikan Malaysia istimewa.

Dan ketiga, hiduplah dengan mengamalkan toleransi, tolak ansur, dan pendekatan sederhana.

Adat bernegara seharusnya matang dan bersusila tinggi. Kita mesti belajar berlebih kurang dan berbahagi. Yang lemah dibantu dan diupayakan, yang terbuang dilindungi dan dibela dan yang buntu dipimpin dengan jalan keluar yang mencerah.

Tiada keamanan tanpa tolak ansur. Tiada kesejahteraan tanpa toleransi yang tinggi.

Tiada kesepaduan nasional tanpa mengambil pendekatan yang sederhana. 

Marilah kita memperbaharui azam kita, dalam bulan kemerdekaan ini, untuk mengukuhkan Muafakat Malaysia demi tanahair tercinta. – 30 Ogos 2020.

* Mohamad Hasan, timbalan presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen