Lakaran wadah semangat patriotisme baharu


SEJARAH perjalanan negara ke arah wawasan baharu yang berdaya saing dan dinamik sejak kemerdekaan 64 tahun yang lalu diwarnai dengan likuan dan pancaroba yang berbeza, diselami dengan detik kejayaan dan juga cabaran yang melanda. 

Krisis pandemik Covid-19 dilihat antara kemelut terbesar yang menggugat kesinambungan ketahanan dan daya saing negara yang telah dipalu dengan pelbagai dimensi cabaran politik, keselamatan, ekonomi dan sosial sebelum ini yang kemudiannya menyaksikan kejayaan kebangkitan menyeluruh. 

Dampak Covid-19 akan turut mempertaruhkan keteguhan dan kelestarian  institusi dalaman dan nukleus dinamika pembangunan ekonomi negara di medan ujian yang tertinggi. 

Berlunaskan kepada kupasan sejarah perjalanan negara sepanjang lebih daripada separuh abad yang lalu, kejayaan masyarakat dan asas jaringan kukuh dalam kesepakatan gabungan sumber, ilmu dan kepakaran yang menggembleng kekuatan dan kelebihan secara bersepadu dan holistik membuka lembaran baharu kebangkitan yang berasaskan pembangunan semula dasar dan sistem yang berteraskan masa depan dan kepentingan negara. 

Kelebihan kepelbagaian sumber penjana dalam memastikan kekentalan institusi utama terus terlindung dan berdaya tahan menjadi pentas inisiatif untuk menyusur galurkan fokus bersasar dalam memperkukuh kelengkapan menghadapi krisis.

Di setiap skop dan medan cabaran yang melanda, keupayaan kapasiti dan daya tahan berbekalkan keutuhan sektor kerajaan dan swasta serta pemerkasaan dan kesiapsiagaan tinggi kemampanan institusi ekonomi dan kewangan menjadi penggerak dan pemangkin kepada sistem daya saing dan kapasiti negara dalam menghadapi krisis. 

Kekukuhan dalam spektrum ini menjadi nadi dan teras utama dalam melonjak usaha dan aspirasi negara dalam hasrat untuk meneruskan perjalanan ke arah wawasan negara yang maju dan berjaya dalam semua nilai ukur, seiring dengan kemajuan masyarakat dalam indikator dan harapan yang sama. 

Rencana masa depan negara tercinta akan terus terjamin dengan jalinan aspirasi bersama untuk memperbaiki kepincangan dan bergabung tenaga dan kepakaran melalui pengasahan bakat dan potensi menyeluruh berasaskan keperluan masa depan yang diterajui oleh kemajuan sains dan teknologi.

Dalam mengangkat kecemerlangan negara dengan berpaksikan pembangunan berlandaskan daya saing futuristik serta berteraskan anjakan perspektif dan paradigma yang melangkaui jangkauan dan norma lama, kesepaduan dan transformasi minda dan kesungguhan masyarakat dalam mencetus usaha bersama ke arah aspirasi yang direncana dan dalam konteks pemulihan menyeluruh pasca Covid-19 menjadi penyandang kepada manifestasi pencapaian kejayaan negara dalam penghayatan kemerdekaan ke-64 ini khususnya. 

Keunikan makna dan sandaran kepada nilai, wawasan, pegangan serta prinsip jati diri dan patriotisme kepada negara tercinta menjadi titik tolak dan peneraju kepada masa depan negara. 

Di sebalik tirai kemelut politik dan persaingan  kuasa serta dugaan sosio-ekonomi yang ditimpa, pemulihan dan kebangkitan memuncak di mana sistem asas pembangunan negara akan terus dimantapkan dengan pengalaman dan perancangan adaptasi hasil daripada cabaran berangkai politik dan ekonomi ini akan dimanfaatkan dalam membina rangkaian dan jalinan sistem pembangunan negara yang lebih komprehensif dalam era pasca pandemik.

Usaha ke arah masa depan yang lebih cekal dan berdaya saing akan terbantut sekiranya potensi dan kekuatan sebenar masyarakat dan modal insan tidak digembleng sepenuhnya dalam menempa pencapaian bertaraf global. 

Dalam menyemarak semangat kekitaan serta perpaduan rakyat dan penyemaian nilai dan prinsip berlunaskan patriotisme dan cintakan negara, satu penanda aras dan lembaran baharu akan terhasil dalam memacu kesatuan aspirasi dan semangat untuk menyumbang dan berkorban untuk negara dan masyarakat, sejajar dengan panggilan tertinggi untuk berkhidmat dan menjadikan negara sebagai medan bakti sumbangan  kegemilangan dan pengorbanan. 

Nafas baharu perlu disuntik dalam arena politik untuk terus memperkasa perpaduan dan kesatuan masyarakat dalam melonjak usaha dan nilai bersama untuk berbakti dan berkhidmat ke arah merealisasikan aspirasi negara dan mencipta masa depan yang bertonggakkan kesepakatan bersama sebagai keluarga Malaysia yang menabur jasa, kudrat dan keringat secara kolektif untuk kesejahteraan sejagat.

Dalam menelusuri lakaran pembangunan landskap politik dan pembangunan negara yang baharu, prinsip dan nilai asas negara yang bertunjangkan kepada kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara dan keluhuran Perlembagaan serta pemupukan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat menjadi kayu ukur penghasilan landasan yang teguh dalam menjana transformasi hala tuju pembangunan negara dan galvanisasi holistik modal insan.

Seiring dengan kemerdekaan negara ke-64 ini, penghayatan nilai erti sebenar kebanggaan dan kekuatan negara yang dicerminkan oleh pencapaian yang ditempa sepanjang tempoh kemerdekaan diberi perspektif dan makna yang tersendiri. 

Pemulihan dan kebangkitan pasca Covid-19 akan menjadikan nilai dan penghargaan kemerdekaan kali ini lebih bermakna dalam memperbaharui semangat dan takuk yang baharu, dipacu oleh keunggulan nilai dan semangat kekitaan dan patriotisme yang dipupuk dan disemarakkan dalam konteks menghadapi cabaran bersama pandemik Covid-19 dan kekusutan sosio-ekonomi.

Dalam merungkai halangan masa depan dan merentasi polemik lama, penghargaan dan pengiktirafan setiap lapisan masyarakat untuk terus menzahirkan usaha dan pengorbanan kepada negara yang berlandaskan keutuhan semangat patriotisme dan cintakan negara menjadi pegangan bersama yang akan terus mekar dalam dinamika kelangsungannya yang kebal dimamah usia. 

Tiada likuan ranjau dan cabaran yang mustahil untuk ditangani dengan kejituan perpaduan dan kesepakatan bersama dalam melakar jalan penyelesaian dan membentuk teraju pencapaian baharu. 

Impak kejayaan Malaysia di mata dunia bukan hanya akan dinilai dan diukur dari segi sumbangan ekonomi dan ilmu secara amnya, evolusi peradaban dunia dan kemanusiaan yang berlandaskan kesucian dan penghayatan nilai, prinsip dan pegangan murni dalam membentuk ketamadunan masa depan menjadi perintis kebanggaan bersama. – 30 Ogos, 2021.

* Collins Chong, penolong pendaftar Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen