KEMBOJA menyambut ulang tahun ke-56 Asean dengan mengulangi sekali lagi mengenai peri pentingnya untuk badan serantau itu mengekalkan kepusatan dan perpaduannya dalam menangani cabaran, lapor Xinhua.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, berkata sejak beberapa dekad lalu, Asean berdiri teguh menangani pelbagai cabaran dalam perjalanannya membangunkan rantau yang aman, selamat, stabil dan pesat membangun.
“Sebagai sebuah institusi, Asean akan mempunyai perjalanan yang panjang dan kompleks, terutama ketika dunia sedang melalui persaingan geopolitik yang sengit,” katanya dalam ucapan sempena Hari Asean.
Sokhonn berkata komuniti Asean benar-benar berorientasikan rakyat dan berpaksikan rakyat, tanpa mengetepikan sesiapa.
Tahun ini, beliau optimis bahawa Asean, yang kini dipengerusikan Indonesia dengan temanya “Epicentrum of Global Growth” akan sentiasa penting ketika mengorak langkah ke hadapan untuk melaksanakan proses pembinaan komuniti.
“Apa yang kami sasarkan sekarang ialah menjadikan Asean sebagai sebuah organisasi serantau yang berdaya tahan, teguh, menyesuaikan diri, inklusif, mampan dan makmur,” kata Sokhonn.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, Asean dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 9 Ogos, 2023.
Komen