Parti pimpinan PM Kemboja menang besar pilihan raya 


Parti Rakyat Kemboja pimpinan Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen memenangi 120 daripada 125 kerusi Parlimen Kemboja. – Gambar EPA, 25 Julai, 2023.

PARTI Rakyat Kemboja (CPP) memenangi 120 daripada 125 kerusi Parlimen, manakala lima lagi kerusi dimenangi Parti Funcinpec, dalam pilihan raya umum pada Ahad, menurut jurucakap parti itu pada Selasa.

Pilihan raya kali ini menyaksikan 18 parti politik bertanding.

Jurucakap CPP, Sok Eysan, pada Selasa berkata mengikut pengiraan CPP yang berdasarkan keputusan awal Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), parti itu memenangi 120 kerusi dan Parti Funcinpec pimpinan Putera Norodom Chakravuth memperoleh baki lima kerusi.

“PKP menerima 80% undi daripada 8.21 juta pengundi, memenangi 120 kerusi atau 96% daripada 125 kerusi Dewan Rakyat.

“Ia merupakan satu lagi kejayaan besar CPP dan mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” kata Eysan, lapor Xinhua.

Hun Manet, calon perdana menteri CPP, berkata rakyat telah menyatakan dengan jelas kehendak mereka melalui undian dengan peratusan keluar mengundi yang sangat tinggi melebihi 84 peratus.

“Sebilangan besar telah menyatakan sokongan kepada Parti Rakyat Kemboja,” katanya di saluran Telegram rasminya.

Manet, 45, yang juga ahli Jawatankuasa Tetap CPP, merakamkan penghargaannya kepada pengundi kerana menyokong CPP dan berikrar untuk berkhidmat dengan lebih baik pada masa hadapan.

Sementara itu, jurucakap Parti Funcinpec, Nhoeun Raden, berkata keputusan awal NEC menunjukkan Parti  Funcinpec memperoleh lima kerusi. 

Beliau berkata parti itu menang di Phnom Penh dan wilayah Kandal, Prey Veng, Kampong Thom dan Kampong Cham.

Menurut NEC, kira-kira 8.21 juta orang atau 84.58 peratus daripada 9.71 juta pengundi yang layak telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing. 

Pilihan raya itu adalah yang ketujuh sejak 1993 dan pada 2018, CPP memenangi kesemua 125 kerusi.

CPP telah memerintah Kemboja sejak 1979, dengan Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen, juga presiden parti itu, menjadi perdana menteri sejak 1985. 

Hun Sen berkata dewan rakyat akan bersidang pada 28 Ogos dan kerajaan baharu akan mengangkat sumpah pada 29 Ogos. – Bernama, 25 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen