Parti politik di Kemboja lancar kempen pilihan raya umum


Lebih 9.7 juta rakyat Kemboja akan melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 125 kerusi dalam pilihan raya yang bakal berlangsung pada 23 Julai. – Gambar AFP, 2 Julai, 2023.

SEBANYAK 18 parti politik di Kemboja memulakan kempen pilihan raya umum selama tiga minggu bermula semalam, lapor Xinhua.

Lebih 9.7 juta rakyatnya akan melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 125 kerusi dalam pilihan raya yang bakal berlangsung pada 23 Julai, menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC).

Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen, iaitu presiden Parti Rakyat Kemboja (CPP) menghadiri perhimpunan yang diadakan di Pulau Diamond di ibu negara Phnom Penh.

Berucap pada perhimpunan itu, Hun Sen berkata pilihan raya akan datang adalah peristiwa politik yang bersejarah dan penting bagi negara, dan CPP meluluskan sokongan untuk pemilihan semula beliau.

Hun Sen berkata manifesto parti pada 2023-2028 direka untuk memastikan perlindungan keamanan dan kemampanan negara serta menambah baik kehidupan rakyat ke arah merealisasikan wawasan Kemboja untuk menjadi negara berpendapatan sederhana atas menjelang 2030 dan negara berpendapatan tinggi menjelang 2050.

Beliau juga menjanjikan penjagaan kesihatan percuma diperluas kepada golongan rentan dan latihan vokasional dan teknikal percuma untuk golongan muda daripada keluarga miskin.

CPP akan terus menjalin persahabatan dan kerjasama dengan semua negara, menyumbang kepada keamanan, kestabilan, keselamatan, kerjasama dan kemakmuran di rantau ini dan dunia, sambil menentang segala bentuk campur tangan luar.

CPP memerintah negara Asia Tenggara itu sejak 1979.

Pada pilihan raya umum 2018 yang lalu, CPP memenangi kesemua 125 kerusi Dewan Negara.

Parti-parti politik lain termasuk Parti Bersatu Kebangsaan Khmer dan Parti Anti-Kemiskinan Khmer turut mengadakan perhimpunan di bahagian lain ibu kota.

Kempen pilihan raya akan berlangsung sehingga 21 Julai. – Bernama, 2 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen