Kemboja pecah rekod dunia tarian madison terbesar


Pada Selasa, Kemboja memecahkan rekod dunia Guinness bagi paparan terbesar sebanyak 3,917,805 origami mengatasi rekod yang dipegang Britain. – Gambar Facebook, 15 April, 2023.

KEMBOJA pada Sabtu memecahkan rekod dunia Guinness yang dipegangnya sendiri bagi tarian madison terbesar membabitkan 4,999 peserta, lapor agensi berita Xinhua.

Peserta mempersembahkan tarian madison selama lima minit di kompleks taman arkeologi Angkor yang terkenal di barat laut Siem Reap City untuk meraikan Tahun Baharu Khmer, selama tiga hari yang bermula pada Jumaat.

Kesatuan Persekutuan Belia Kemboja menganjurkan tarian yang diketuai oleh anak bongsu Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen, Hun Many.

Pengadil rasmi rekod dunia Guinness, Tomomi Sekioka yang memantau persembahan itu kagum terhadap kerja berpasukan yang luar biasa dan kesungguhan mereka yang mengambil bahagian.

“Saya mengesahkan dengan 4,999 peserta, Kesatuan Persekutuan Belia Kemboja mencatat rekod dunia Guinness yang baharu untuk tarian madison terbesar, mengatasi rekod sebelum ini iaitu 2,015 peserta pada 2015,” katanya.

Tarian madison agak popular di Kemboja semasa perayaan Tahun Baharu Khmer dan majlis perkahwinan.

Sebelum ini pada Selasa, Kemboja turut memecahkan rekod dunia Guinness untuk paparan terbesar sebanyak 3,917,805 origami berbentuk jantung mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang oleh Britain. – Bernama, 15 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen