Pulau kutip RM700,000 di Kemboja


Pulau juga filem seram yang paling banyak ditonton di Kemboja tahun ini. – Gambar Facebook, 24 Julai 2023.

FILEM Pulau terbitan WebTVAsia menjadi filem Malaysia pertama yang berjaya mengutip RM700,000 di Kemboja selepas ditayangkan di negara itu pada 22 Jun lalu.

Pulau yang diedarkan syarikat Kemboja, Westec Media, juga filem seram yang paling banyak ditonton di negara itu tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia Fred Chong pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menyifatkan kejayaan itu satu pencapaian yang begitu membanggakan bagi industri filem tempatan.

“Angka itu memang sangat tinggi memandangkan populasi Kemboja ada 16.6 juta. Untuk mendapat jumlah kutipan begitu di Malaysia sendiri pun bukan semua filem mampu capainya.

“Jadi, ia sebuah pencapaian yang sangat tidak dijangka. Kalau ikutkan, di Vietnam pun sudah mencecah RM800,000 tapi populasi negara itu pula hampir 100 juta” katanya dipetik Harian Metro.

Kata Fred lagi, peluang WebTVAsia untuk mengedarkan filem Pulau di Kemboja terbuka selepas menghadiri Festival Filem Antarabangsa Kemboja 2023 baru-baru ini.

“Pulau menjadi satu-satunya filem Malaysia yang ditayangkan pada acara itu. Saya pun pertama kali berkunjung ke sana dan sebenarnya nampak ada ruang untuk filem kita tembus pasaran Kemboja,” katanya.

Pada sidang media yang sama, WebTVAsia juga secara rasmi menandatangani memorandum kerjasama dengan Westec Media.

Antara yang hadir pada sidang media berkenaan adalah pelakon Pulau seperti Sanjna Suri, Ms Puiyi dan Mark Odea. – 24 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen