PM Lee ucap tahniah kepada PM baharu Kemboja 


Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mahu bekerjasama untuk terus mengukuhkan kerjasama secara dua hala dan juga dalam forum pelbagai hala dengan Kemboja.– Gambar EPA, 8 Ogos, 2023.

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengutus ucapan tahniah kepada Hun Manet atas pelantikannya sebagai perdana menteri baharu Kemboja.

Lee berkata kedua-dua negara mempunyai “hubungan yang telah lama terjalin dan mesra”.

“Hubungan dua hala telah berkembang sejak pertemuan terakhir kami pada 2018, apabila anda melawat Singapura sebagai Felow Pertukaran Lee Kuan Yew ke-64.

“Kami telah meningkatkan kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, bantuan teknikal, serta pertukaran anggota tentera di bawah kepimpinan anda sebagai Timbalan Panglima Angkatan Tentera Diraja Kemboja dan Panglima Tentera Darat Diraja Kemboja,” kata Lee dalam perutusan tahniahnya kepada Hun Manet hari ini.

Lee berkata kedua-dua negara juga telah memperluas kerjasama dalam bidang baharu dan baru muncul, seperti eksport tenaga boleh baharu ke Singapura dan perdagangan kredit karbon.

“Kita harus terus meneroka kerjasama yang semakin meluas dalam bidang seperti perubahan iklim dan pendigitalan,” kata Lee.

Lee juga mahu bekerjasama untuk terus mengukuhkan kerjasama secara dua hala dan juga dalam forum pelbagai hala.

“Saya juga berharap dapat bertemu dengan anda pada Sidang Kemuncak Asean ke-43 di Jakarta pada September ini,” kata Lee.

Pada Isnin, Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni melantik Hun Manet, 45, sebagai perdana menteri baharu selepas penyandangnya Samdech Techo Hun Sen mengumumkan peletakkan jawatannya.

Pada 26 Julai, Hun Sen, 71, mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai perdana menteri selepas menyandang jawatan itu selama lebih 38 tahun, dengan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anak sulungnya, Hun Manet.

Sementara itu, dalam surat perpisahan kepada Hun Sen, Lee mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Rakyat Kemboja dalam pilihan raya negara itu.

“Keputusan pilihan raya itu merupakan pengesahan yang jelas terhadap kepimpinan dan visi anda untuk masa depan Kemboja,” kata Lee.

Sebagai seorang pemimpin paling lama berkhidmat di dunia, Lee berkata Hun Sen telah mengemudi Kemboja melalui detik mencabar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut Lee, Hun Sen telah bekerja keras untuk membawa keamanan, kestabilan dan pembangunan kepada rakyat Kemboja.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, anda mempengerusikan Asean dengan jayanya pada 2022 dan kali pertama menganjur Sukan Asia Tenggara ke-32 dan Sukan Para Asean ke-12 pada 2023,” kata Lee. – Bernama, 8 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen