Rayuan petisyen pilihan raya Parlimen Segamat didengar 1 Ogos


MAHKAMAH Persekutuan menangguhkan ke 1 Ogos untuk mendengar rayuan calon Barisan Nasional (BN) M Ramasamy untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Segamat setelah peguam Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat.

Panel tiga hakim diketuai Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam Sarah Maalini Abishegam yang memberitahu mahkamah bahawa Shafee mengalami vertigo serta migrain yang teruk dan kini bercuti sakit.

Zabariah, yang bersidang bersama Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim Thiam Suan, berkata rayuan itu akan didengar pada 1 Ogos secara fizikal.

Terdahulu dalam prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, Sarah memberitahu mahkamah yang Shafee, peguam utama bagi kes itu, dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan bagi mengelakkannya daripada terjatuh.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala peguam Lau Yi Leong, yang mewakili Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, tidak membantah penangguhan itu.

Pada PRU15 yang diadakan pada November tahun lepas, calon Pakatan Harapan (PH) Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi dan diisytiharkan sebagai ahli Parlimen yang dipilih bagi kawasan itu mengalahkan Ramasamy, P Poobalan daripada Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey daripada Pejuang.

Ramasamy, yang merupakan bendahari MIC, bertanding sebagai calon BN.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen pilihan raya memohon antara lain, pengisytiharan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Segamat terbatal dan pengisytiharan Yuneswaran tidak dipilih sebagai ahli Parlimen.

Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden.

Pada 3 April lepas, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya Ramasamy selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan responden.

Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk bahawa Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954  berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon. – Bernama, 28 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen