Politiking kanggaru telan politik membina


G Manimaran

PRU15 pada 19 November lalu diharap akan membawa kepada kestabilan berkekalan selepas era pasca-PRU14 yang gagal membuahkan harapan seperti disasarkan.

PERHIMPUNAN Agung Umno hujung minggu lepas menyegarkan kembali memori perjalanan besar parti dominan Barisan Nasional (BN).

Untuk satu tempoh tujuh dekad yang lalu khususnya sejak tahun 1970-an parti itu meninggalkan tapak perjalanan yang senantiasa menarik perhatian banyak pihak.

Khususnya pada hari pertama, dalam ucapan presiden dan hari terakhir yang dikhususkan untuk sesi penggulungan pemimpin-pemimpin utama.

Peminat-peminat politik akan duduk di depan TV untuk mengikuti perjalanan dua hari besar itu. Sekarang media sosial menjadi pengganti. 

Jumlah masa dan ruang yang diperuntukkan oleh media tradisional kelihatan kurang dan kecil, tidak seperti dulu.

Ketika itu kestabilan politik tidak menjadi isu.

Dalam kebanyakan masa, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung Tahunan akan menjadi gambaran kepada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Memandangkan Umno menjadi parti dominan, ia secara langsung akan mencerminkan dasar kerajaan di kedua-dua platform tersebut. 

Semua akan menantikan pengumuman dasar baharu atau penjelasan mengenai dasar-dasar kontroversial.

Kerajaan ketika itu mempunyai kedudukan yang mantap dengan kerusi majoriti dua pertiga atau lebih di kedua-dua dewan perundangan peringkat pusat dan negeri. Umno dan BN selesa.

Itu yang kita saksikan sehingga 2008, sebelum keadaan bertambah rumit bagi Umno dan BN sepanjang satu dekad selepas itu. Situasi kini sudah jauh berubah.

Pun begitu, Perhimpunan Agung Umno kembali menjadi medan perbincangan banyak perkara menarik tetapi sejauh mana ia menggambarkan keadaan sebenar – kestabilan politik parti dan negara, kekal persoalan besar.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu diharap akan membawa kepada kestabilan berkekalan selepas era pasca-PRU14 yang gagal membuahkan harapan seperti disasarkan.

Politiking keterlaluan atau politik kanggaru berterusan sehingga kini.

Ramai kekal meletakkan harapan agar kestabilan yang diharapkan akan wujud selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Negeri ini memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya umum serentak dengan pemilihan peringkat persekutuan penghujung tahun lalu.

Politik keterlaluan berlangsung hampir setiap hari ini sejak selepas PRU15 November lalu. Tiada noktah. 
Rakyat kembali muak, kembali letih dengan sikap dan tindak-tanduk melampau sehingga membangkitkan persoalan ke mana negara sedang bergerak. Ke mana hala tujuan kita sebenarnya?

Adakah keadaan semasa disebabkan oleh ketiadaan pilihan raya serentak melibatkan kesemua negeri bersama pilihan raya parlimen? Jawapannya mudah: Tidak. Sebab ada negeri yang pernah dan masih meneruskan tradisi mengadakan PRN berasingan.

Sebaliknya keadaan ini banyak dipengaruhi oleh ideologi politik kepartian berbanding dengan kepentingan nasional.

Kita gagal mengamalkan amalan politik konstruktif. Seolah-olah kita tidak mahu atau tidak tahu untuk menghormati hasil daripada keputusan yang diputuskan oleh pengundi di peti undi semasa pilihan raya.

Politiking melampau sebenarnya merugikan kerajaan, di kedua-dua peringkat negeri dan pusat. 

Kita telah lalui situasi politik memenatkan sepanjang empat tahun lalu dan kita kembali saksikan keadaan yang sama sejak selepas PRU15 sehingga ke hari ini.

Wakil rakyat sama ada ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri, perlu belajar untuk menjadi anggota dewan perundangan yang konstruktif. 

Begitu juga pemimpin-pemimpin politik di pelbagai peringkat landskap politik – dari pusat sehinggalah tempatan.

Ahli-ahli politik perlu mempamerkan politik matang dengan menjadi contoh baik kepada rakyat iaitu menerima keputusan akhir dan meneruskan agenda pembangunan negara. 

Ahli-ahli politik perlu berbesar hati untuk menerima hakikat sebenar dunia politik.

Ahli-ahli politik perlu berganding untuk menggerakkan negara di landasan yang membina. 

Mereka yang menganggotai pentadbiran kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Begitu juga barisan pembangkang yang mempunyai peranan konstruktif dalam menjalankan fungsi semak dan imbang di bawah semangat pilihan raya demokrasi.

Aktor-aktor politik perlu membuang politiking keterlaluan yang menakut-nakutkan rakyat, komuniti perniagaan, pelabur dan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam proses pembangunan negara.

Sebenarnya negara mengalami kerugian besar sejak enam bulan lalu. Kerugian besar yang disebabkan oleh ahli-ahli politik yang asyik bertengkar tanpa prinsip yang munasabah.

Kadangkala hujah, pandangan dan kenyataan yang dibawa mereka tidak masuk akal. Gagal memainkan peranan sebagai aktor politik yang konstruktif.

Adakah kita akan bakal menyaksikan kestabilan yang sebenar yang diharapkan selepas PRN enam negeri? Saya rasa tidak. 

Saya tidak yakin kita akan menikmati kestabilan lebih baik. Kita akan kembali kepada situasi pasca-PRU14 selama empat tahun.

Pastinya percakaran politik akan berlanjutan sehingga PRU16. Keadaan akan menjadi lebih mencabar selepas PRN di enam negeri.

Setiap ahli politik perlu berfikiran terbuka untuk menerima hakikat dan membawa perubahan dan pembaharuan yang membina demi rakyat.

Politik dan pilihan raya hanya bersifat sementara. Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan. Bangunkan dasar dan program yang kukuh untuk rakyat dan negara.

Ahli politik dan pemimpin akan datang dan pergi. Tetapi, negara akan kekal. Amalkan politik konstruktif. Bukan sebaliknya. 

Sampai bila kita hendak bercakaran satu sama lain dengan hanya mahukan politiking melampau dan keterlaluan.

Keseluruhannya, disebabkan politiking keterlaluan kita sudah kehilangan lima tahun, selepas PRU14, yang berkualiti ketika persaingan daripada negara-negara rantau ini dan global semakin membesar. Jangan biarkan detik menyedihkan ini berterusan.

Kini tiba masa untuk meletakkan noktah kepada politiking keterlaluan. Sebaliknya, amalan politik konstruktif perlu dibina di setiap peringkat, sekali gus membina keyakinan rakyat dan pengundi.

Jangan sampai label sidang kanggaru menjadi satu stigma dalam politik negara. – 14 Jun, 2023.

* Dr G Manimaran merupakan penganalisis pilihan raya

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen