Hadir perhimpunan Umno demi perkukuh kerajaan perpaduan, kata Anwar


Ini kali pertama Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Perhimpunan Agung Umno selepas beliau dipecat daripada parti itu pada 1998. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Jun 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2023 hari ini untuk memperkukuhkan lagi kerajaan perpaduan.

Keutamaan ketika ini adalah menyempurnakan tugas kepada negara, katanya Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH)

“Saya hadir semula kerana saya gunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” ujarnya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ini kali pertama Anwar menghadiri Perhimpunan Agung Umno selepas beliau dipecat daripada parti itu pada 1998.

Berpakaian baju Melayu biru muda dan bersongkok, beliau dilihat mengibarkan bendera Sangsaka Bangsa dan menyanyikan lagu rasmi Umno “Bersatu Bersetia Berkhidmat” di Dewan Merdeka di WTCKL. 

Anwar berkata beliau berasa selesa menghadiri perhimpuan hari ini kerana sudah biasa dengan suasana di perhimpunan agung Umno walaupun sudah 25 tahun tidak bersama parti itu.

Namun presiden PKR itu menegaskan kepentingan rakyat dan negara adalah lebih utama berbanding pengalaman peribadi beliau bersama Umno.

“Yang penting menyempurnakan tugas kepada negara, pengalaman peribadi itu penting tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya tentunya rasa selesa dan senang dan biasa dengan suasana ini termasuk menghafal lagu itu (lagu Umno),” katanya. – 9 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen