Bersih gesa kerajaan sementara ikut panduan sepanjang PRN


Noel Achariam

Bersih meminta kerajaan sementara mengikut panduan dikeluarkan SPR sepanjang tempoh berkempen pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2023.

BERSIH meminta kerajaan sementara untuk mematuhi garis panduan berkempen dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak mengulangi kesilapan mengumumkan “bantuan” menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusinya Thomas Fann berkata pada masa sekarang tidak ada undang-undang jelas yang menghalang salah guna sumber negara oleh kerajaan sementara sepanjang kempen pilihan raya.

“Pada masa sekarang hanya ada garis panduan dikeluarkan oleh ketua setiausaha tetapi ia tidak menghalang pemimpin parti atau menteri daripada mengadakan majlis rasmi ketika pilihan raya untuk berkempen bagi parti mereka.

“Kesalahan biasa pilihan raya yang lain termasuklah mengadakan jamuan, cabutan bertuah dan memberi duit minyak,” katanya.

Tambah Fann, walaupun SPR tidak berkuasa untuk mendenda atau mendakwa kesalahan itu, ia boleh mendidik parti politik dan rakyat tentangnya.

“Kerajaan sementara perlu mengelak membuat pengumuman dasar yang penting kerana ia tidak beretika, tetapi sukar untuk menghendaki kerajaan pusat bertindak sebagai kerajaan sementara ketika negeri sedang mengadakan pilihan raya.”

SPR minggu lepas mengumumkan pilihan raya di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan diadakan serentak pada 12 Ogos depan.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dengan pengundian awal pada 8 Ogos.

245 kerusi DUN akan dipertandingkan dengan 32 di Terengganu, 36 masing-masing di Kedah dan Negeri Sembilan, Pulau Pinang (40), Kelantan (45) dan Selangor (56). – 16 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen