Muhyiddin salah guna kuasa dengan janji jawatan GLC, kata Bersih


Muyhiddin Yassin mendedahkan parti komponen Perikatan Nasional sudah memutuskan agihan jawatan pentadbiran termasuk pengarah GLC dan ahli majlis perbandaran jika menang pilihan raya negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2023.

GABUNGAN untuk Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) mengecam janji Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin berkaitan lantikan politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika Perikatan Nasional menang pada enam pilihan raya negeri akan datang.

Badan pemantau pilihan raya itu berkata tawaran itu bercanggah dengan prinsip tadbir urus baik dan satu salah guna kuasa untuk memberi ganjaran kepada ahli partinya. 

“GLC adalah syarikat yang wujud untuk menyelia dan mengembangkan kekayaan awam dan bukan ATM parti politik untuk meletakkan (ahli) parti yang setia dalam senarai penggajian negara. Dengan secara terbuka menyatakan hasratnya, kami juga tertanya-tanya jika ini adalah satu bentuk pembelian undi bagi menjamin sokongan kumpulan tertentu.

“Bentuk politik penaungan sebegini malangnya sudah menjadi sebahagian daripada budaya politik kita dan setiap kerajaan semasa, termasuk Kerajaan Perpaduan sekarang bersalah kerana melantik sama ada politikus yang dipilih (menang pilihan raya) atau tidak dipilih ke dalam lembaga pengarah GLC,” kata Bersih dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam satu wawancara bersama portal berita, Free Malaysia Today (FMT), Muhyiddin berkata PN sudah bersedia membentuk kerajaan di enam negeri dan sudah bersetuju tentang agihan jawatan pentadbiran untuk setiap parti komponennya.

Tambahnya lagi, PN juga akan bertanding di semua 245 kerusi pada PRN dan sudah bersepakat mengelak pergaduhan sesama mereka jika ia menang dan membentuk kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengagihan jawatan itu termasuklah menteri besar, exco negeri, ketua syarikat berkaitan kerajaan negeri, ahli majlis perbandaran dan ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Mengulas lanjut kenyataan Muhyiddin, Bersih berkata tidak sepatutnya wakil rakyat dilantik ke dalam GLC kerana tanggungjawab utama mereka adalah kepada pengundi dan menjadi wakil rakyat bukannya pengarah syarikat.

“Bagi ahli politik yang tidak dipilih (kalah pilihan raya), kita perlu meletakkan proses jelas dan ketat bagi memastikan ketelusan yang bukan sahaja memastikan individu layak sahaja dilantik kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan aset awam.

“Pengundi perlu mengundi dengan bijak pada pilihan raya negeri akan datang bagi memastikan parti atau calon yang komited kepada pembaharuan institusi untuk membasmi korupsi dipilih supaya negara kita bebas daripada cengkaman politik penaungan dan korupsi,” tekan badan itu lagi. – 1 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen