Gubal undang-undang pastikan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat, kata Bersih


Bersih menggesa kerajaan menggubal undang-undang bagi memastikan peruntukan kawasan pilihan raya yang sama rata kepada semua wakil rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2023.

BADAN pemantau pilihan raya Bersih mahu kerajaan menggubal undang-undang untuk memastikan peruntukan kawasan pilihan raya yang sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kecenderungan politik mereka.

Bersih dalam satu kenyataan berkata peruntukan itu tidak sepatutnya diberikan berdasarkan budi bicara perdana menteri.

“Satu undang-undang perlu digubal supaya sesiapa yang memegang tampuk pemerintahan dapat memberikan peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Peruntukan pembangunan kawasan adalah hak rakyat dan merupakan mekanisme berkesan dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka dengan segera.

“Pemberian peruntukan pembangunan kawasan yang tidak sama rata dan saksama kepada semua wakil rakyat adalah satu hukuman kepada rakyat kerana memilih wakil rakyat yang tidak menyebelahi kerajaan,” kata Bersih.

Ia turut mengingatkan Pakatan Harapan (PH) bahawa peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata adalah salah satu janji dalam manifesto PRU15.

Tambahnya kerajaan pimpinan PH tidak seharusnya mengikut mentaliti autoritarian lama legasi Barisan Nasional.

“Ini tidak seharusnya diteruskan oleh kerajaan perpaduan yang mentadbir sekarang dan menampilkan dirinya sebagai reformis.”

Bersih mengulangi bahawa pemberian peruntukan yang sama rata mesti dijadikan antara perkara utama dan mendesak dalam usaha mereformasikan sistem politik dan institusi.

Menurutnya ini boleh menjadi asas kepada usaha merapatkan jurang antara kerajaan dan pembangkang yang telah wujud sejak sekian lama.

“Peruntukan pembangunan wilayah yang saksama adalah reformasi penting untuk menjamin kestabilan politik supaya tiada parti politik menggunakannya sebagai alasan untuk menukar kerajaan pada pertengahan penggal,” kata badan pemantau pilihan raya itu.

Minggu lalu Ahli Parlimen Arau Shahidan Kasim dan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam menggesa agar peruntukan sama rata diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang. – 4 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen