Hak prerogatif presiden pecat Sivarraajh, kata ketua penerangan MIC


Ravin Palanisamy

PRESIDEN MIC mempunyai kuasa untuk memecat mana-mana individu daripada jawatan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu tanpa perlu memberi alasan, kata R Thinalan.

Ketua penerangan MIC itu merujuk kepada kenyataan bekas ahli Parlimen Cameron Highlands Sivarraajh Chandran semalam, bahawa tiada alasan diberi mengapa beliau dilucutkan jawatan ahli CWC.

“Sivarraajh dilantik sebagai ahli CWC (pada 2021) dan tiada alasan atas pelantikan beliau kerana ia adalah hak prerogatif presiden.

“Jadi, sama juga apabila presiden buat keputusan untuk memecatnya. Tiada keperluan untuk presiden beri alasan atau sebarang penjelasan” kata Thinalan dalam satu kenyataan.

Media semalam melaporkan Sivarraajh dipecat sebagai ahli CWC berkuat kuasa 10 Jun.

Sumber yang rapat dengan bekas naib presiden MIC itu berkata tiada alasan diberikan mengapa beliau dipecat, namun Sivarraajh dilaporkan dipecat kerana tidak menghadiri program Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India yang diadakan di Shah Alam Sabtu lalu.

Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran semalam mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa Sivarraajh hanya dipecat sebagai ahli CWC oleh Presiden MIC S A Vigneswaran, bukan disingkirkan daripada parti.

Beliau juga berkata Sivarraajh yang juga ahli Dewan Negara masih boleh menghadiri mesyuarat CWC.

“Kita juga ada senator (lain) datang mesyuarat CWC walaupun mereka bukan ahli CWC. Ini bukan perkara baru,” katanya. – 14 Jun 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen