Anwar ucap tahniah Erdogan menang pilihan raya Turkiye


Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ketika kunjungan perdana menteri ke Ankara pada Februari lalu. Hari ini, Anwar menyertai pemimpin dunia yang lain mengucapkan tahniah kepada Erdogan yang menang pilihan raya penentu pada Ahad. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 29 Mei 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin dunia yang lain mengucapkan tahniah kepada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang telah memenangi pilihan raya penentu pada Ahad.

Anwar dalam ucapan tahniahnya berkata Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Turkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada.

“Tahniah kepada Tuan Yang Terutama Presiden Erdogan kerana dipilih sebagai presiden ke-13 Republik Turkiye dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

“Turkiye akan terus memainkan peranan membina sebagai pemain serantau dan global yang penting,” kata Anwar di Twitter.

Pengerusi Majlis Pilihan Raya Turkiye Ahmet Yener mengumumkan Erdogan telah dipilih semula sebagai presiden dalam pilihan raya penentu yang diadakan pada Ahad, dengan mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.

Menurut keputusan tidak rasmi, Erdogan memperoleh 52.14%, manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86% undian. 

Pada pengundian pusingan pertama 14 Mei lalu, Erdogan memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu tetapi gagal mencapai 50 peratus undian yang diperlukan untuk menang. – Bernama, 29 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen