JUTAWAN Taiwan yang juga pengasas Foxconn Terry Gou semalam umum akan memohon menjadi calon untuk bertanding jawatan presiden Taiwan pada pilihan raya 2024, lapor Sputnik memetik laporan penyiar Taiwan TVBS.
Minggu lepas, Gou melawat Amerika Syarikat (AS) untuk mempromosi kerjasama pulau itu dengan Washington dan seluruh dunia.
Lawatan itu dilihat sebagai isyarat bahawa pengasas Foxconn itu telah memulakan kempen pilihan raya presiden 2024.
“Jika parti pembangkang Kuomintang (KMT) mencalonkan saya, saya akan melakukan yang terbaik … untuk memenangi pilihan raya 2024,” kata Gou sekembalinya dari AS.
Beliau juga berterima kasih kepada kepimpinan KMT kerana menganggapnya sebagai “aset penting” parti dan memohon maaf kerana meninggalkan parti itu empat tahun lalu.
Foxconn yang ditubuhkan pada tahun 1974 di Taiwan adalah antara pengeluar teknologi dan penyedia perkhidmatan terbesar di dunia.
Pelanggan utama syarikat itu termasuk Amazon, Apple, Xiaomi dan Microsoft.
Pada 2019, Gou meletak jawatan sebagai pengerusi Foxconn untuk bertanding dalam pemilihan ketua pentadbiran Taiwan 2020, namun sejurus selepas itu beliau mengumumkan keputusan untuk meninggalkan KMT. – Bernama, 6 April 2023.
Komen