PERLOMBONGAN unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai RM125 bilion akan memberi manfaat besar kepada Kelantan, sekali gus menjadikan negeri itu tidak perlu lagi bergantung kepada aktiviti pembalakan, kata Mohd Amar Nik Abdullah.
NR-REE dan hasil minyak dan gas akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri, tambah timbalan menteri besar Kelantan itu semasa wawancara langsung di Kelantantv malam tadi.
Mohd Amar bagaimanapun berkata perlombongan NR-REE masih dalam perbincangan.
“Kalau NR-REE ini kita boleh manfaatkan dengan baik dan dengan pendekatan yang bijaksana, Kelantan boleh mendapat pendapatan yang tinggi.
“Kita boleh membangunkan negeri ini dengan tidak bergantung kepada sumber-sumber lain. Jadi inilah yang sedang dirancang dan dibincangkan oleh exco kerajaan.
“Dan kalau berjaya ditambah pula dengan hasil minyak dan gas yang ada, ia akan memberi sumber pendapatan yang besar, dan mungkin pada waktu itu kita tidak perlu lagi tebang kayu balak.
Dan sekarang ini pun hasil daripada kayu balak ini duduk nombor tiga sebenarnya, ia bukan yang utama. Yang utama sumber daripada cukai tanah dan sektor perkhidmatan
“Ramai ingat pembalakan (sumber) hasil utama kerajaan negeri, tetapi sebenarnya yang ketiga. Yang utama dan kedua adalah cukai,” kata Adun Panchor itu.
Media sebelum ini melaporkan Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang di Kelantan dikenal pasti berpotensi mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2.56 juta tan dengan nilai RM125 bilion. – 14 Jun 2023.
Komen