Projek Empangan Nenggiri bukan punca gajar liar ganggu penduduk, kata Mohd Amar


Kerajaan Kelantan menolak projek Empangan Nenggiri menjadi punca gajah liar ganggu penduduk. – Gambar Facebook, 16 Februari, 2023.

PROJEK Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang yang sedang berjalan ketika ini bukanlah faktor utama berlaku pencerobohan gajah liar di sekitar kawasan penempatan penduduk sehingga menganggu keselamatan mereka.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata kebiasaannya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan memberi laporan berkenaan kejadian terbabit kepada pihaknya kerana ia perlu diteliti terlebih dahulu.

“Biasanya isu yang melibatkan binatang liar ini kena rujuk Perhilitan sebab mereka lebih tahu, cuma pada pandangan saya projek empangan Nenggiri bukan faktor utama berlakunya gangguan haiwan liar ini di kawasan penempatan penduduk dekat Gua Musang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sukatan Gantang bagi Beras Skim It’Aam di Dataran Kemahkotaan, di Machang, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Saripuddin Tuan Ismail.

Media sebelum ini melaporkan beberapa kejadian pencerobohan gajah liar berlaku di kawasan penduduk dekat Gua Musang seperti Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Terah, Kampung Lebur Jaya dan beberapa penempatan masyarakat Orang Asli di Pos Belatim, Pos Bihai serta Pos Gob. – Bernama, 16 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen