PAS perlu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen untuk mengukuhkan kedudukannya di Putrajaya, kata naib presidennya Nik Mohd Amar Nik Abdullah.
Parti itu perlu kekal menguasai kerajaan persekutuan dan mengekalkan tiga negeri yang dikuasai – Kedah, Kelantan dan Terengganu, kata timbalan menteri besar Kelantan itu.
“Kita perlu pastikan supaya kedudukan kita dalam kerajaan pusat kekal kerana kita tahu dalam setahun dua ini buat pertama kalinya PAS dapat jadi sebahagian daripada kerajaan pusat.
“Walau dengan jumlah kecil kita kena pastikan keberadaan kita di pusat kekal, sebab kita dah melangkah ke depan dan tak boleh undur.
“Kita kena kuatkan kedudukan di Putrajaya dan perlu tambah kerusi Parlimen, kita kena menang 40 kerusi Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu pelancaran jentera PAS di muktamar parti itu di Kedah malam tadi.
Tambahnya lagi walau kelihatan sukar namun ia tidak mustahil sama seperti PAS dapat mengambil alih Putrajaya menerusi Langkah Sheraton.
“Sebelum PRU14 tak ada orang terfikir Umno akan tumbang tapi dengan kuasa Allah Umno kalah dan hilang kuasa.
“Umno dapat balik jadi perdana menteri dengan sokongan kita, PAS. Dulu tak pernah terfikir dengan 18 kerusi macam mana nak jadi kerajaan tapi tuhan takdirkan Pakatan Harapan hanya dapat memerintah 22 bulan sahaja.
“Sebab itu yang berjuang tak perlu risau, selagi kita berada landasan betul,” katanya.
Dalam pilihan raya umum 2018, PAS memenangi 18 kerusi Parlimen iaitu enam di Terengganu, sembilan di Kelantan dan tiga di Kedah.
PAS kemudian berjaya menyertai pentadbiran persekutuan selepas berpakat dengan Bersatu dan Umno menerusi Langkah Sheraton pada Mac 2020. – 4 September, 2022.
Komen