SERAMAI 823 penghulu mukim dan penghulu tanpa mukim di bawah kerajaan Kelantan, telah menyertai Skim Keselamatan Sosial Perkerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata penyertaan penghulu-penghulu menerusi skim itu, merupakan kali pertama dilakukan oleh kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan.
“Penghulu-penghulu ini boleh disifatkan sebagai barisan hadapan, kerana menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan penduduk setempat.
“Kebiasaannya mereka (penghulu) menggunakan motosikal di kawasan kampung, yang mana boleh terdedah kepada pelbagai risiko tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya,” katanya selepas menyerahkan cek caruman bayaran Skim Keselamatan Sosial Perkerjaan Sendiri berjumlah RM31,931.40 bagi 823 penghulu kepada Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata melalui skim ini kebajikan mereka terjaga, malah keluarga juga boleh mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan termasuk kematian.
“Sebelum penyertaan 823 penghulu ini menerusi skim ini, kerajaan negeri sudah berbincang untuk pilihan caruman insurans yang lain kepada mereka, tetapi gagal dilaksanakan disebabkan isu teknikal.
“Bagaimanapun, hasil perbincangan dengan pihak Perkeso didapati ada proses yang lebih mudah dan skim yang sesuai dengan perkerjaan sebagai penghulu,” katanya. – Bernama, 10 November, 2022.
Komen