Perkasa parti, calon dan jentera untuk Umno kembali dominan, kata naib presiden


Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani mencadangkan supaya Umno memperkasa parti, calon dan jenteranya untuk memenangi PRU16. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Jun, 2023.

NAIB Presiden Umno Johari Abdul Ghani mencadangkan supaya Umno memperkasa parti, calon dan jenteranya untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya calon pula perlu dikenal pasti lebih awal dan dinilai secara berterusan sebelum diturunkan menjadi calon bagi mewakili Umno dalam pilihan raya.

“Parti Umno kita ini agak unik sikit, kalau kita nak pilih calon bertanding kadang-kadang dua hari lagi nak penamaan calon baru kita bagi tahu orang, tapi hari ini kita duduk dalam kedudukan yang kalah (dalam PRU15).

“... kalau kita boleh kenal pasti calon yang nak bertanding ini, kemudian kita bagi tahu mereka dalam empat setengah tahun ini, setiap tahun kita nilai dia punya prestasi, kalau dia tak tunjukkan prestasi yang baik dalam masa setahun kita boleh cari calon lain tetapi yang paling penting kita kena kenal pasti mereka dahulu,” katanya.

Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Johari, jentera pilihan raya di setiap kawasan yang akan ditandingi juga perlu mantap serta kuat dan jika ada apa-apa perkara yang berpotensi menjejaskan keutuhannya ia perlu diatasi segera.

“Jentera dan calon merupakan satu entiti yang kalau kita nak menang tak boleh dipisahkan, kalau ada elemen yang tak puas hati dalam kedudukan jentera, kita kena selesaikan cepat-cepat… jangan kita susun (gerak kerja) jentera kita ini bila Parlimen bubar, agak mustahil untuk kita nak buat,” katanya.

Menurutnya pucuk pimpinan tertinggi dan ahli Umno juga perlu mempunyai mentaliti kemenangan jika parti itu ingin kembali dominan memandangkan prestasi BN yang terus merudum sejak beberapa siri PRU lalu berbanding parti lain yang semakin kukuh.

Seorang lagi Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail di dalam ucapan penggulungannya memaklumkan satu jemaah pemikir akan diwujudkan menerusi majlis pengkaderan dan latihan parti itu yang ditubuhkan pada 22 Mac lalu.

Beliau yang juga pengerusi majlis pengkaderan dan latihan berkata jemaah pemikir itu akan berperanan sebagai entiti penasihat yang memberi panduan berhubung kaedah latihan dan pengkaderan yang sesuai pada masa kini.

“Majlis ini juga mengumpul lebih 70 orang pembimbing pemukiman yang terdiri daripada fasilitator terlatih yang mempunyai pengalaman luas dan pernah berkhidmat bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Seranta, Biro Tatanegara dan beberapa organisasi lain,” katanya.

Selain itu Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, majlis perkaderan dan latihan turut merancang untuk mewujudkan sekolah politik bertujuan melahirkan pemimpin yang boleh menang, diterima dan disukai.

“Menerusi sekolah politik ini saya percaya kita mampu melahirkan lebih ramai orang parti yang setia dan taat kepada perjuangan parti. Saya juga yakin, sekolah politik ini mampu melahirkan generasi pewaris yang berkeupayaan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno,” katanya. – Bernama, 10 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen