Rundingan damai di Selatan Thailand tetap diteruskan walaupun kerajaan bertukar


Pilihan raya umum 14 Mei menyaksikan gabungan pemerintah kalah dalam pilihan raya itu. – Gambar AFP, 27 Mei, 2023.

RUNDINGAN damai di Selatan Thailand adalah agenda nasional dan ia akan diteruskan meskipun kerajaan bertukar demi memastikan keamanan dan menyelesaikan konflik yang berlanjutan selama dua dekad.

Ketua Panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh berkata adalah penting untuk mengekalkan momentum rundingan damai ketika peralihan politik negara.

Beliau berkata pasukannya sedang mempercepatkan penyelarasan dengan semua pihak berkaitan bagi menjamin proses rundingan berjalan tanpa gangguan sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.

“Saya ingin meyakinkan anda bahawa walaupun kerajaan bertukar, rundingan damai akan terus menjadi agenda nasional dengan objektifnya memastikan keamanan di wilayah selatan,” katanya.

Mengenai pelan komprehensif bersama ke arah keamanan (JCPP) iaitu pelan hala tuju yang bertujuan mencapai perjanjian damai menjelang akhir 2024, Wanlop berkata kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi membangunkan pelan hala tuju secara kolaboratif, komprehensif dan inklusif supaya memudahkan kemajuan terhadap dialog berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan untuk memanjangkan tempoh masa kerana Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan mengumumkan rundingan ditangguh sementara menunggu pilihan raya umum 14 Mei dan pembentukan kerajaan baharu, katanya

“Kami sedang berusaha ke arah mencapai matlamat perjanjian itu menjelang Disember tahun depan,” katanya.

Berdasarkan garis masa yang dapat disaksikan semasa pilihan raya umum 2019, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum kerajaan baharu dibentuk.

Rundingan damai hanya boleh disambung semula seawal September.

Pilihan raya umum 14 Mei menyaksikan gabungan pemerintah kalah dalam pilihan raya itu.

Gabungan diketuai Parti Move Forward yang memenangi pilihan raya memaklumkan ia akan mengutamakan keamanan di selatan Thailand.

Dalam 23 perkara Memorandum Persefahaman (MoU), gabungan lapan parti itu akan bekerjasama membina proses keamanan mampan di wilayah selatan dengan mengambil kira hak asasi manusia, kewujudan bersama masyarakat berbilang budaya, penyertaan semua sektor dan mengkaji semula agensi dan undang-undang berkaitan dengan keselamatan.

Pemimpin Parti Move Forward dan calon perdana menteri Pita Limjaroenrat berkata proses damai akan diterajui oleh orang awam, menggantikan peranan utama tentera dalam proses rundingan.

Proses rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN bertujuan bagi mencari penyelesaian demi menamatkan konflik yang memuncak pada Januari 1994 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses rundingan damai demi menamatkan konflik selama beberapa dekad yang memuncak pada Januari 2004.

Bekas panglima angkatan tentera Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai ketua fasilitator.

Statistik oleh kumpulan pemantau bebas Deep South Watch memaparkan keganasan berlanjutan di selatan Thailand, bermula pada 2004 dan meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen