PRU16 kayu ukur sebenar kerajaan perpaduan, kata Zambry


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata PRN yang akan berlangsung di enam negeri bukan medan untuk menilai prestasi kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April 2023.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar pentadbiran kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir.

Pentadbiran kerajaan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu seharusnya dinilai apabila penggal Parlimen hampir tamat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), katanya.

“Mungkin dalam lima tahun atau dalam empat tahun setengah akan datang.

“Dalam tempoh, itu kita akan lihat juga dinamik politik yang pantas berubah, perubahan perspektif, isu yang timbul dan juga prestasi kerajaan waktu itu.

“Rakyat akan menilai secara rasional sejauh mana sesebuah kerajaan mentadbir,” katanya dalam wawancara disiarkan Umno Online pada malam tadi.

Beliau percaya rakyat akan dapat menilai kerajaan yang membawa negara ke mercu kejayaan dalam politik, ekonomi dan kehidupan rakyat seharian.

Tambahnya, PRN di enam negeri tidak wajar menjadi medan untuk menilai prestasi itu.

“Kita lihat ada yang kata kayu ukur (kerajaan dapat dilihat pada) seperti PRN di enam negeri, sepatutnya kita kena keluar dari kotak pemikiran itu,” kata Zambry.

Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan menjalankan PRN selepas DUN masing-masing dibubarkan pada Jun.

Pentadbiran kerajaan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim seharusnya dinilai apabila penggal Parlimen hampir tamat menjelang PRU16, kata Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir. – Gambar Jabatan Penerangan, 20 April 2023.

Sementara itu, kerajaan perlu membangunkan semula negara untuk penilaian rakyat, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu.

“Tumpuan rakyat adalah bagaimana kerajaan dapat bangunkan negara, kesejahteraan kehidupan, pembangunan ekonomi, dan pembasmian kemiskinan, ini agenda rakyat akan fikir akhirnya nanti.”

Pada masa sama, Umno tidak boleh bermain dengan sentimen kaum dan agama seperti pihak lain, tegasnya.

“Ada (pihak bermain) sentimen ke kanan, bermain isu kaum dan agama dan sebagainya seolah-olah kita rasakan inilah isu yang akan menentukan jatuh bangunnya (sesebuah kerajaan).

“Sedangkan dari segi perjuangannya, Umno dari segi falsafah dan matlamat tak berubah,” katanya.

Pembangkang juga masih memainkan sentimen bahawa kerajaan hari ini tidak akan bertahan sepenggal, kerana tidak berpuas hati apabila gagal membentuk kerajaan.

“Mereka akan terus mainkan, (seperti) rasa tak puas hati apa berlaku, seolah letakkan kebarangkalian untuk mereka bentuk kerajaan peringkat awal (selepas PRU15) tapi sebaliknya berlaku.

“Oleh kerana perasaan tak puas hati dan dendam untuk memastikan kerajaan tak kekal.

“Seperti disebut seorang tuan guru dengan berikan ramalan itu dan ini, mengatakan seolah-olah kerajaan hanya kekal enam bulan, daripada tempoh berapa bulan lalu dia sebut,” katanya.

Sedangkan, parti yang membentuk kerajaan hari ini mempunyai hubungan kukuh, malah dapat dilihat melalui penganjuran Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dijadual pada 14 Mei depan.

“Ia satu lagi fasa penting dalam politik negara untuk kita yakinkan dan letakkan di hadapan ini kerajaan, kita letakkan dukungan rakyat teruskan negara dari aspek kestabilan politik.

“Pastikan rakyat berikan keyakinan. Inilah barisannya.

“Dengan adanya konvensyen ini kita wujudkan persefahaman, seperti Muafakat Nasional yang kita harap jadi platform baru tapi ditakdirkan akhirnya kita berada dalam platform begini,” katanya.

Jelasnya, konvensyen itu bakal menjadi platform pengukuhan setiap anggota yang membentuk kerajaan perpaduan hari ini.

“Ini platform yang terbaik untuk rakyat dan negara kerana ia wakili pelbagai parti dari seluruh peringkat, parti Semenanjung dan Sabah, Sarawak, dengan 148 ahli Parlimen di dalamnya, dengan dua pertiga majoritinya.

“Ini beri keyakinan baru dan perlu dibina, diletakkan dalam platform bersama, semangat solidariti bersama, untuk yakinkan rakyat inilah untuk bawa negara kita lima tahun akan datang dan PRU16 nanti,” kata Zambry. – 20 April 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen