Boris Johnson dipilih bertanding semula bagi pilihan raya umum UK


Bekas perdana menteri United Kingdom Boris Johnson dipilih semula sebagai calon Konservatif di Uxbridge dan South Ruislip untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail AFP, 17 Mac 2023.

BEKAS perdana menteri United Kingdom Boris Johnson dipilih semula sebagai calon Konservatif di Uxbridge dan South Ruislip bagi bertanding dalam pilihan raya umum akan datang meskipun siasatan terhadap skandal parti masih diteruskan.

Pilihan raya umum akan datang dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada Januari 2025.

“Malam ini jawatankuasa pemilihan Uxbridge dan South Ruislip memilih Boris Johnson sebagai calon kami,” Sputnik melaporkan jurucakap Johnson sebagai berkata, memetik Sky News.

Pada akhir Jun 2022, Jawatankuasa Keistimewaan berkata pihaknya sedang mencari saksi dan bukti untuk membantu menentukan sama ada Johnson telah mengelirukan Parlimen berhubung menghadiri parti di Downing 10 semasa sekatan pergerakan Covid-19.

Pada 3 Mac, jawatankuasa itu menerbitkan laporan awal yang memperincikan kes itu.

Johnson mungkin digantung daripada Dewan Rakyat selama 10 hari jika terbukti mengelirukan Parlimen.

Penggantungan itu boleh menjadi justifikasi untuk memfailkan petisyen bagi menarik balik mandat parlimennya.

Skandal itu meletus selepas beberapa perhimpunan diadakan di pejabat Johnson sepanjang 2020 dan 2021, melanggar peraturan penjarakan sosial Covid-19.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan laporan dua lagi pesta diadakan pada 16 April 2021 pada malam pengebumian Putera Philip, ketika UK masih mengekalkan sekatan Covid-19 dan dalam tempoh berkabung. – Bernama, 17 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen