ChatGPT makin menyeramkan


Naim Al-Kalantani

Teknologi AI, atau khususnya ChatGPT ini sangat berbahaya jika penggunanya tidak prihatin dengan hasil janaan teknologi ini. – Gambar AFP, 10 Mei, 2023.

DALAM masa beberapa tahun mendatang, tidak pelik jika saranan “Cuba kau tanya Google” untuk mendapatkan maklumat waktu ini akan bertukar kepada “Cuba kau tanya ChatGPT”.

Mungkin setahun atau dua tahun lepas, Chat Generative Pre-training Transformer (ChatGPT) tidak menakutkan sangat kerana banyak perkara yang masih tidak mampu dilakukannya.

Tetapi selepas pandemik Covid-19 beransur surut, dunia boleh melihat ChatGPT atau teknologi Kepintaran Buatan (AI) ini berkembang pesat.

ChatGPT sebenarnya dilatih oleh manusia, atau lebih tepat lagi oleh anda sendiri.

Dulu jika saya mendengar mengenai teknologi AI, saya jadi teruja kerana ia menunjukkan teknologi kita masih tidak tepu. Tapi kini tidak lagi, teknologi AI ini boleh mendatangkan banyak masalah.

Kemajuan AI menjadi fenomena sehingga ChatGPT yang disebut sebagai Google 2.0 tidak mustahil memberi kesan besar terhadap tahap sosial dan pendidikan sejagat.

ChatGPT bergerak sangat pantas dan dapat memahami arahan yang sangat kompleks.

Sebulan dua ini, saya menguji pelbagai AI, terutamanya ChatGPT dengan arahan menjana gambar dan seni halus. Pada mulanya, saya teruja, tetapi akhirnya, saya berada dalam ketakutan.

Impak paling besar yang saya dapat fikirkan sekarang ialah ChatGPT ini akan memberi kesan dalam pendidikan. Pelajar sekolah hingga mahasiswa tidak perlu lagi memahami arahan soalan dan cara mencari jawapan atau penyelesaian.

Mereka hanya perlu salin dan tampal soalan untuk dijadikan arahan kepada ChatGPT untuk menjawabnya. Semakin tepat sesuatu arahan, semakin senang untuk pelajar mendapatkan jawapan.

ChatGPT dikatakan mencari maklumat di internet. Kita tidak mengetahui “di mana” enjin cariannya.

Maklumat cariannya meliputi corak dan hubung kait antara data-data capaiannya dari internet, buku, artikel, laman web dan dokumen-dokumen lain.

Tetapi kita sebagai orang awam atau pengguna, tidak dapat mengesahkan kesahihan data yang dikemukakannya.

Dalam dunia akademik, sumber maklumat sangat penting. Petikan rujukan (citation) sangat penting kerana ia antara lain menunjukkan thiqah (reputasi yang baik) sesuatu sumber.

Masalah terbesar bagi ChatGPT (sekurang-kurangnya versi percuma), pengguna tidak tahu dari mana datang dan siapa pemberi maklumat yang dijana olehnya.

Pemberi maklumat perlu bersifat thiqah untuk menyampaikan satu-satu maklumat.

Dalam konteks ini, pelajar atau mahasiswa tidak menghiraukan dari mana maklumat itu dicari, tetapi mereka hanya mengaut dan memasukkan ke dalam tugasan akademik.

Dalam satu kes terbaru di Nigeria, seorang pelajar mendapat markah kosong selepas menjawab soalan esei yang 100% menggunakan janaan ChatGPT.

Kes sebegini boleh dielakkan jika pelajar tersebut menggunakan AI lain untuk menggubal atau menyunting ayat tersebut agar mengikut lenggok bahasa si pelajar.

Jika pelajar tersebut ada sedikit kemahiran untuk mencari AI lain yang mampu membuat demikian, dia tidak akan memperoleh markah kosong.

Maksudnya di sini, semua hal yang terjadi dalam dunia AI tidak dapat dibendung. Memang ada gerakan membanteras dan mengesan hasil janaan AI, tetapi pada masa yang sama akan ada satu AI lain yang membenarkannya.

Inilah kelemahannya. Kerana itu juga jutawan Elon Musk dan pengasas bersama Apple Steve Wozniak, bersama-sama jurutera Amazon, DeepMind, Google, Meta dan Microsoft menandatangani surat perjanjian untuk memberhentikan sejenak kajian mengenai AI ini.

ChatGPT-4 dikatakan sangat berkuasa. Sejak saya menggunakan dengan kerap, saya tidak mampu bayangkan potensi buruk ChatGPT.

Setakat ini, ChatGPT sangat bersikap sopan dan tidak melanggar etika. Tetapi sudah ada beberapa kes ia melanggar beberapa etika.

Lebih menakutkan penggunanya menolak sesuatu kebenaran sekiranya tidak mampu dibuktikan oleh ChatGPT.

Pencarian maklumat melalui ChatGPT tidak sama dengan hasil bacaan buku. Jika pembaca buku tidak menjumpai sesuatu jawapan pembaca mungkin menganggap jawapan ada dalam buku lain.

Sama juga dengan enjin carian seperti Google. Jika tidak dijumpai dengan Google, mungkin terlindung dalam buku atau jurnal.

Tapi tidak bagi ChatGPT, kemungkinan besar pengguna percaya 100% kebolehannya untuk mencari maklumat.

Saya sendiri menguji beberapa AI lain yang serupa ChatGPT, terutama untuk menjana gambar. Imej janaan AI lebih berbahaya berbanding teks. Potensinya mengerikan.

Di media sosial, kita dapat menyaksikan gambar hasil janaan AI yang menunjukkan tokoh politik membuat aktiviti yang sebenarnya tidak pernah mereka lakukan.

Sekali pandang, gambar itu hampir sempurna. Tetapi jika diteliti, ia masih lagi nampak seperti kartun. Tetapi itu hanya buat masa ini.

Kita tidak tahu sejauh mana kemampuan AI untuk menjana gambar ini dengan lebih baik pada masa akan datang.

Dalam satu lagi gambar yang dikongsi di Facebook, imej sepasang pengantin dijana dengan AI sehingga rupa paras mereka menjadi buruk sehingga menimbulkan ejekan pengguna lain.

Tetapi sewaktu pengguna Facebook itu ketawa, AI sedang belajar untuk memahami semua arahan dan tindak-tanduk manusia. Dengan kata lain, satu hari lagi, dan saya yakin AI tidak perlukan masa yang lama untuk AI membaiki wajah tersebut.

Ketakutan ini sangat berasas. Gambar itu hasil janaan AI yang bagi saya, masih mengikuti lunas moral dan etika sejagat.

Tetapi tahukah anda ada AI yang tidak mengikut etika? Saya sendiri sudah mencubanya dan ia memang menakutkan. Semua benda di zaman edan ini tidak mustahil dijana menggunakan AI.

Beberapa bulan lepas, seorang lelaki di Belgium didakwa maut selepas berbual dengan aplikasi chat AI bernama Chai. Dalam perbualan itu, AI tersebut didakwa menyarankannya untuk membunuh diri.

Kenapa ia boleh terjadi? ChatGPT dapat menyimpan dan juga mempertimbang kecenderungan seseorang pemberi arahan.

Bayangkan anda berhubung dengan AI dalam satu ruangan chat. Selagi anda tidak menamatkan perbualan, ia akan terus membaca lenggok bahasa dan kecenderungan anda.

Teknologi AI, atau khususnya ChatGPT ini sangat berbahaya jika penggunanya tidak prihatin dengan hasil janaan teknologi ini.

Setakat ini, saya masih mahu lihat dan teruja, apakah yang AI mampu lakukan kerana saya percaya ia masih tidak tepu. Tetapi dalam masa yang sama, bak kata Dr Mahathir Mohamad, “saya takut”. – 10 Mei, 2023.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen