Pengalaman perit dengan cikgu bahasa Inggeris


Fakhrurrazi Rashid

Laporan Bank Dunia baru-baru ini melihat warga pendidik tidak mempunyai kefahaman dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif, khususnya berdepan dengan pelajar berprestasi rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2024.

BARU-baru ini, Bank Dunia melancarkan laporan bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Straightening Foundation Skill” yang menyentuh tentang kepentingan Malaysia meningkatkan kemahiran atau sumber tenaga untuk kekal kompetitif. Kajian ini mendapati tahap kemahiran pekerja di Malaysia mengikut aras modal insan masih lagi rendah.  

Jumlah tahap modal insan (mengukur tahap kemahiran sumber tenaga) bagi Malaysia adalah 0.61, yakni lebih rendah daripada negara berpendapatan rendah seperti Vietnam (0.69) dan negara maju seperti Singapura (0.88). Bagi mengatasi masalah ini, peningkatan kualiti sektor pendidikan dilihat penting bagi melahirkan sumber tenaga mahir di Malaysia.  

Meskipun sistem pendidikan Malaysia berada dalam keadaan baik, kajian ini menyatakan prestasi warga pendidik dalam menyediakan para pelajar dengan kemahiran asas yang betul kurang memuaskan. Guru-guru di Malaysia, khususnya di peringkat sekolah rendah, tidak menunjukkan kesediaan, komitmen, dan moral yang tinggi sebagai seorang pendidik.

Laporan itu turut melihat warga pendidik tidak mempunyai kefahaman dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif, khususnya berdepan dengan pelajar berprestasi rendah. Berbeza dengan kemampuan guru di Vietnam yang lebih mahir dalam menggunakan pendekatan yang pelbagai dan pedagogi yang efektif untuk menguruskan pelajar mengikut tahap akademik dan kemampuan di bilik darjah.

Ketidakmampuan guru-guru ini boleh dilihat sebagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak menguasai kemahiran asas seperti membaca sejak di sekolah rendah. Kajian ini mendapati 24% murid sekolah rendah, khasnya daripada keluarga berpendapatan rendah, tidak mempunyai persediaan asas memasuki sekolah rendah.

Masalah kian membesar

Masalah ini berlarutan apabila pada akhir darjah lima, 42% murid ini tidak dapat membaca perenggan yang lebih kompleks dengan kefahaman yang betul. Isu ini semakin membimbangkan apabila pelajar berusia 15 tahun di Malaysia tidak mampu menguasai kemahiran membaca, matematik dan sains, seperti rakan-rakan di negara lain. Trend ini dapat dibuktikan berdasarkan kedudukan Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) kebelakangan ini semakin merosot.

Realitinya, kelemahan menguasai kemahiran asas ini sering menjadi rungutan pihak industri untuk mendapatkan tenaga kerja mahir di Malaysia, khasnya dalam bidang berkemahiran tinggi, yang menjadi matlamat utama kerajaan. Dari sudut yang berbeza, kekurangan kemahiran ini menyebabkan ramai tenaga kerja mendapat upah rendah dan terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan berkemahiran rendah dengan pekerja asing.

Suka atau tidak, kita tidak mempunyai jalan pintas. Melahirkan guru-guru yang berkemahiran dan bijak membantu pelajar menyiapkan diri kepada dunia yang lebih kompleks adalah langkah penting untuk membina kemajuan negara.  

Sebelum pelancaran laporan tersebut, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkongsi tentang perjalanan pendidikannya hingga ke menara gading dalam ucapan pembukaannya. Rafizi menceritakan bagaimana pengaruh dan bimbingan guru bahasa Inggerisnya di sekolah yang menyebabkan dia mahir dan menguasai kemahiran bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah.

Pengalaman saya dengan cikgu bahasa Inggeris saya pula berbeza. Kaedah berat sebelah dan sikap kurang peduli yang ditonjolkan guru ini telah menjadi faktor utama yang menyebabkan saya kurang yakin dan berminat dengan bahasa Inggeris dan ia meninggalkan kesan sehingga saya memasuki alam universiti.

Pengalaman perit bersama guru

Saya merupakan pelajar kelas aliran sastera waktu itu. Ketika itu, pelajar aliran sastera dianggap kurang pandai berbanding pelajar aliran sains tulen dan lain-lain. Cikgu bahasa Inggeris saya itu sering memandang tinggi rakan-rakan di kelas sains yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Sikapnya yang acuh tak acuh ini menyebabkan tahap kefahaman dan kemahiran bahasa Inggeris saya tidak berkembang dengan baik. Pendek kata, cikgu saya ini tidak melihat pendekatan berbeza untuk membantu pelajar yang lemah bahasa Inggeris dan pelajar yang sudah menguasai bahasa Inggeris.

Masalah bahasa Inggeris saya berlarutan sehingga tingkatan enam. Pernah sekali ketika latihan Malaysia University English Test (MUET) untuk sesi lisan, guru saya memberitahu bahawa “When I close my eyes and listen to you speaking English, I can discern that you are Malay from the intonation and structure of your sentences” (Apabila saya tutup mata dan dengar anda bercakap dalam bahasa Inggeris, saya tahu anda Melayu kerana gaya pertuturan dan susunan ayat anda).

Sudah pasti perkara ini memberi kesan psikologi dan kurang keyakinan kepada saya untuk menambahbaik kemahiran bahasa Inggeris. Tetapi, semangat tidak berputus asa masih menebal. Saya pernah menghabiskan duit latihan amali untuk menghadiri kelas bahasa Inggeris sendiri sebelum memasuki universiti.

Universiti telah memberi peluang dan keyakinan untuk menambahbaik bahasa Inggeris saya. Sehinggakan, saya berani mengambil kelas persembahan teater dalam bahasa Inggeris dan berpengalaman membuat skrip sendiri atas sokongan daripada pensyarah dan rakan-rakan.

Sentuhan guru untuk anak bangsa

Ini mungkin pengalaman perit saya dengan guru bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah. Saya percaya, tidak semua guru berlaku tidak adil kepada muridnya. Tetapi, cerita saya ini memperlihatkan betapa pentingnya seorang guru dalam membina jati diri dan keyakinan kepada anak bangsa berjaya.

Bulan Mei sering dikaitkan dengan sambutan menghargai jasa guru-guru dan warga pendidik. Kesedaran untuk membentuk guru-guru yang komited melahirkan anak bangsa yang berjaya adalah satu-satunya kunci kejayaan yang paling berharga dalam membina kesejahteraan hidup rakyat dan kemajuan negara.

Saya ingin melihat lebih ramai guru yang lebih prihatin dan peduli tentang perkembangan muridnya. Guru-guru perlu bersedia mencurahkan ilmu yang ada agar mereka tidak mengalami pengalaman perit yang saya pernah lalui. Hasil benih yang baik ditanam oleh guru-guru pastinya akan memperkuatkan lagi ekonomi dan pembangunan negara. – 7 Mei, 2024.
  

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen