Beragama dengan adil, sederhana


Mohd Syazreen Abdullah

SEBAIK-baik perkara adalah yang tengah-tengah (khair al-umuri awsathuha).

Wasiat Imam Ali: “Barangsiapa meninggalkan sikap adil dan moderat, dia akan melakukan kezaliman.”

Kata adil merujuk sikap i’tidal bererti pertengahan, moderat dan adil.

Baru-baru ini dalam catatan di Facebook, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelaskan pekerja hijrahan Muslim tidak pernah diasingkan daripada masyarakat dan masjid, bahkan mereka dianggap anggota berharga dalam masyarakat Islam di Singapura.

Hal ini sekali gus melambangkan syiar akhlak Islamik yang wajib semua ikuti dan teladani termasuklah Muslim mengaku beragama. Khususnya Muslim di Malaysia.

Nasihat daripada MUIS ini penting. Sepatutnya asatizah dan majlis agama Islam di Malaysia juga harus lebih progresif dalam membangkitkan kesedaran dan peringatan manusiawi seperti tentang hal ini.

Kerana menjelang tiba Aidilfitri, seringkali ternampak sikap akhlak tidak Islamik dalam masyarakat beragama hari ini. Walhal, kita seharusnya kembali kepada fitrah. Menghayati makna Islam fitri dan akhlak Islam yang berkemanusiaan. Bahawa semua orang sama di sisi Tuhan sebagaimana di awal penciptaan hamba-Nya.

Justeru, jangan lupa dan abaikan tanggungjawab persaudaraan kita kepada saudara Muslim warga Bangladesh, Rohingya dan lain-lain. Tidak kira sama ada mereka itu pekerja hijrahan atau apa pun kependudukan mereka di sini.

Realitinya, mereka harus dilayan dengan manusiawi seperti orang lain saat menyambut Aidilfitri. Bahkan mereka boleh menunaikan ibadah dengan selamat tanpa membangkitkan sikap prejudis dan rasis.

Jagalah akhlak kita yang mengaku konon Muslim. Bersikap adil dan kemanusiaan kepada mereka dan siapa-siapa pun, kerana pernah terjadi sikap tidak adil kepada mereka sehingga dilayani tanpa rasa kemanusiaan. Mengasingkan tempat ruang solat mereka di luar masjid. Tidak boleh sembahyang dalam masjid.

Ini bukan sikap akhlak Islamik.

Sekiranya sikap dan akhlak ini masih wujud dalam diri seorang Muslim, untuk apa kita beribadah dan berpuasa sepanjang Ramadan?

Dalam kitab perbahasan akhlak, Jami’ al-Saadah ada ditekankan kaedah bahawa setiap keutamaan akhlak dibatasi dua kerendahan akhlak iaitu batasan tafrith (sikap terlalu berlebihan) dan ifrath (terlalu sedikit), sekali gus menjadikan sikap i’tidal atau moderat sebagai keutamaan.

Keutamaan akhlak menganjurkan kita bersikap moderat seperti meraikan saudara hijrahan Muslim kita dengan baik. Santunilah dan buat baik kepada mereka sebagai persaudaraan Islamiyah.

Justeru, sikap moderat sebagai kayu ukur keutamaan dalam akhlak. Sebaliknya ifrath dan tafrith sebagai ukuran kerendahan sikap akhlak, buruk dan tercela.

Demikian sikap tersebut bukan daripada ajaran akhlak Islam iaitu ifrath atau tafrith. Kerana kedua sikap tercela ini mengubah perbuatan baik menjadi buruk dan zalim. Atas dasar inilah Allah akan menghukum manusia kerana pilihannya yang memilih sikap ekstrem, rasis dan radikalis beragama.

Sememangnya, manusia bebas memilih sikap sama ada baik atau buruk. Sikap asali akan mengembalikan kepada fitrah iaitu Islam yang sederhana – moderat.

Begitu dalam praktik kehidupan beragama kita hari ini, janganlah kita mengambil sikap berlebih-lebihan sehingga mendatangkan mudarat kepada akhlak dan orang lain. Beragama sehingga merasakan diri kita lebih mulia dan istimewa berbanding saudara lain. Mengaku beragama tetapi zikir kita sentiasa membanding-bandingkan perbezaan warna kulit, kaum, bangsa dan agama. Walau urusan beribadah sekalipun.

Muslim moderat diajar tidak sesekali menghina bangsa lain. Apatah lagi memperlakukan mereka dengan tidak manusiawi.

Sikap berlebihan boleh menghakis akhlak seorang Muslim yang adil kepada perilaku Muslim rasis. Demikian menjaga sikap i’tidal menjadi keutamaan dan tanggungjawab Muslim hari ini di tengah-tengah kehidupan rencam budaya dan agama.

Justeru, sikap i’tidal menjadi burhan dalam kehidupan pengamalan beragama pada hari ini bahawa setiap sesuatu perkara dan aktiviti itu mempunyai keterbatasan dan kemampuan yang harus dipertimbangkan – bersikap adil atau i’tidal agar tidak terseret pada ifrath dan tafrith sekali gus mengundang kecelakaan.

Bahkan ketidakmampuan itu menuntut kita sedari kepada pertimbangan-pertimbangan lain seperti sikap merendah diri dan kelonggaran sesuatu urusan sehingga tidak membawakan kita lalai dalam kemaksiatan sikap berlebih-lebihan dan semborono khususnya dalam urusan ibadah.

Islam tidak ekstrem dan berada pada satu dimensi sahaja atau bersikap satu sisi sahaja. Sebaliknya mempraktikkan sikap i’tidal atau berlaku adil dalam melakukan banyak perkara demi kemaslahatan dan kemanusiaan.

Sebagaimana disebutkan dalam al-Quran dalam kisah Luqman (31:19) ketika menasihati anaknya dengan nasihat ‘waqshid fi masyyik’ – dan sederhanalah kamu dalam berjalan bermaksud sikap adil, moderat di tengah-tengah perjalanan hidup ini bahawa jangan sesekali bersikap gopoh, semborono dan terburu-buru sehingga melanggari batas kemanusiaan.

Nasihat ini sekali gus menjadi pesan panduan dalam kehidupan beragama kita hari ini bahawa pentingnya pertimbangan sikap adil dan akhlak manusiawi sebagai neraca utama dalam kehidupan.

Diwaspadai bahawa sikap gelojoh merasakan diri kita lebih layak berbanding orang lain sehingga menepikan hak-hak kemanusiaan itulah yang akan menjadi punca bibit sikap ektsrim atau ifrath.

Contoh ritual solat raya asalnya baik tetapi kerana buruknya akhlak sehingga melupakan hak-hak kemanusiaan lain akan dianggap bersikap zalim. Konon menjaga bangsa dan agama tetapi  memperlakukan tidak adil dan zalim kepada bangsa dan agama lain juga dianggap sebagai sikap akhlak tercela – ifrath.

Demikian kerana gagal meletakkan kaedah keutamaan sikap i’tidal dalam kehidupan beragama akan mengundang kezaliman dan penganiayaan pada pihak lain.

Sekali lagi, akhirnya ibadah di bulan Ramadan kita untuk apa, jika tidak mendorong keutamaan akhlak bersikap lebih adil dan menjadi Muslim lebih manusiawi? – 20 April 2023. 

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen