Arab Saudi laksana hukuman mati dalam Ramadan


Arab Saudi menghukum mati 147 orang pada 2022, lebih dua kali ganda berbanding 2021 iaitu 69 orang. – Gambar AFP, 4 April, 2023.

ARAB Saudi melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki semasa bulan suci Ramadan, yang menurut kumpulan hak asasi manusia pada hari Isnin tidak berlaku selama bertahun-tahun.

Pelaksanaan hukuman mati itu dijalankan pada 28 Mac -  lima Ramadan—di wilayah Madinah, lapor Agensi Akhbar Saudi.

Ia berkata lelaki berkenaan, rakyat Arab Saudi, disabitkan dengan kesalahan membunuh. Tertuduh menikam mangsa dan membakarnya, kata laporan itu.

“Arab Saudi menghukum mati seorang rakyatnya semasa Ramadan,” kata Pertubuhan Hak Asasi Manusia Arab Saudi (ESOHR) yang berpangkalan di Berlin dalam satu kenyataan.

Memetik data hukuman mati kementerian dalam negeri Arab Saudi, kumpulan itu berkata “tiada hukuman dilaksanakan pada bulan suci” sejak 2009 di kerajaan itu.

ESOHR berkata ia menjadikan sejumlah 17 orang menjalani hukuman mati tahun ini.

Arab Saudi menghukum mati 147 orang pada 2022—lebih dua kali ganda berbanding 2021 iaitu 69 orang, menurut pengiraan AFP.

Tahun lalu juga menyaksikan pelaksanaan semula hukuman mati bagi jenayah dadah, menamatkan moratorium yang berlarutan selama hampir tiga tahun.

Lebih 1,000 hukuman mati dilaksanakan sejak Raja Salman mengambil alih kuasa pada 2015, menurut laporan yang diterbitkan awal tahun ini oleh Reprieve dan ESOHR yang berpangkalan di Britain.

Kerajaan Arab Saudi sering melaksanakan hukuman mati dengan memenggal kepala.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto Arab Saudi, berkata dalam temu bual dengan majalah The Atlantic yang kerajaan itu “menghapuskan” hukuman mati kecuali untuk kes pembunuhan atau apabila seseorang “mengancam nyawa ramai orang”, menurut transkrip diterbitkan oleh media kerajaan pada Mac 2022. – AFP, 4 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen