KESATUAN Pengawal Keselamatan Malaysia (SGU) mendakwa pengawal keselamatan tempatan dieksploitasi oleh beberapa agensi yang tidak membayar gaji setimpal dengan beban kerja mereka.
Presidennya Ali Ibrahim berkata kesatuan itu menerima aduan pekerja ini mendakwa mereka tidak dibayar elaun kerja lebih masa meskipun bekerja selama 12 jam sehari.
Katanya hampir 100 aduan diterima sejak enam bulan SGU ditubuhkan.
“Kebanyakan syarikat tidak mematuhi undang-undang buruh atau gaji pokok asas, dan ini merupakan isu yang besar. Terdapat kemungkinan perbezaan sebanyak RM1,000 atau lebih yang sepatutnya dibayar kepada pengawal keselamatan.
“SGU telah membawa perkara ini ke Mahkamah Buruh dan kami bertindak sebagai perantara mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambah beliau sehingga kini kira-kira 100 syarikat telah didakwa di Mahkamah Buruh.
“Aduan yang paling kerap kami terima adalah tentang gaji. Kebanyakan syarikat membayar gaji minimum RM1,500. Tetapi elaun lebih masa yang tidak dibayar, iaitu sekitar RM1,125 sebulan. Inilah yang menjadi isu utama.
“Kesatuan akan menghubungi syarikat terbabit mengenai perkara ini. Kebanyakan syarikat akan menyelesaikan isu gaji tersebut, tetapi ada juga kes yang terpaksa dibawa ke Mahkamah Buruh,” kata Ali.
Beliau berkata pada masa ini SGU mewakili 5,000 pengawal keselamatan di seluruh negara.
Pihak berkuasa, terutamanya Kementerian Dalam Negeri dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), harus mengambil perhatian serius terhadap masalah ini, tegas Ali.
“Kami telah meminta satu pertemuan diaturkan dengan Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) dan kami juga akan mengemukakan kertas putih tentang semua aduan.”
Katanya terdapat kira-kira 150,000 pengawal berdaftar di seluruh negara, di mana kira-kira 30,000 daripada mereka adalah warga Nepal.
Utamakan rakyat tempatan
Ali selain itu mempersoalkan langkah kerajaan untuk membawa masuk warga Bangladesh bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Tindakan kerajaan akan menyebabkan rakyat tempatan hilang kerja. Ini tidak adil.
“Kami juga membantah usaha membawa masuk warga Bangladesh kerana rakyat Malaysia jauh lebih baik dalam soal menjaga keselamatan.
“Berbanding warga asing, rakyat tempatan lebih patriotik,” jelasnya. – 6 April 2023.
Komen