HANYA untuk menjimatkan kos ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat syarikat keselamatan menggaji pekerja Nepal yang mempunyai permit untuk pekerjaan lain, kata pemain industri.
Pemilik syarikat keselamatan memberitahu The Malaysian Insight, sukar untuk bertahan apabila syarikat swasta seperti pusat membeli-belah dan kawasan perumahan meletakkan syarat yang longgar untuk pengawal keselamatan ketika PKP, manakala ada yang memilih untuk membayar pengawal keselamatan tidak sah dengan harga yang rendah.
Kini terdapat kira-kira 800 syarikat pengawal keselamatan di Malaysia dan lesen operasi mereka hanya diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Hanya warga asing dari Nepal dibenarkan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia. Mereka memerlukan latihan tertentu dan perlu membayar levi lebih tinggi berbanding pekerja asing di sektor lain.
Seorang pesara tentera udara yang membuka syarikat keselamatan memberitahu The Malaysian Insight, beliau terpaksa menghentikan separuh daripada pekerjanya ketika PKP, berikutan kurang permintaan daripada pelanggan.
“Mereka yang menggaji pengawal keselamatan Nepal (yang memiliki permit sah) bakal gulung tikar. Sebagai contoh, ketika PKP, pusat membeli-belah ditutup, hanya sedikit pengawal keselamatan diperlukan.
“Separuh daripada pekerja saya tiada pekerjaan dan kini saya masih perlu membayar untuk tempat tinggal, makanan dan gaji.
“Apa yang lebih teruk, penggunaan pengawal keselamatan tidak dah kini lebih tersebar. Pelanggan memilih syarikat keselamatan yang menyediakan pengawal keselamatan dengan gaji lebih rendah.
“Pengawal keselamatan ini tidak terlatih dan mereka tiada kebenaran untuk menjadi pengawal keselamatan,” katanya yang enggan namanya didedahkan.
Beliau kemudian mendedahkan gaji pengawal keselamatan yang sah lebih tinggi berbanding yang tidak sah dan levi untuk memasuki negara ini juga berbeza daripada warga Nepal yang masuk dengan permit kerja lain.
“Levi bagi pengawal keselamatan yang sah adalah RM2,000 manakala untuk bekerja di sektor lain hanya RM700 dikenakan.
“Gaji biasa pengawal keselamatan adalah RM2,000 dan ini tidak termasuk elaun lain seperti kerja lebih masa.
“Bagi pengawal keselamatan tidak sah, mereka dibayar RM1,500 dan ke bawah,” katanya.

Beliau berkata terdapat syarikat keselamatan yang turut menggaji pekerja warga Pakistan dan India sebagai pengawal keselamatan.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan perkara baharu, dan sudah berlaku sejak sebelum PKP.
Namun syarikat keselamatan yang bertanggungjawab masih mampu bertahan kerana ekonomi sedang berkembang dan permintaan untuk pengawal keselanatan adalah konsisten.
“Kini dengan perniagaan ditutup dan keadaan ekonomi global tidak menentu, banyak perniagaan terjejas dan semua cuba untuk mengurangkan kos.
“Sebagai syarikat keselamatan yang sah, saya turut terjejas dan banyak syarikat lain turut alami nasib yang sama. Bagaimana kami mahu bayar gaji apabila syarikat tidak mendapat kontrak,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik syarikat keselamatan merasakan tidak banyak yang kerajaan lakukan untuk menangani masalah ini.
“Masalah menggaji pekerja asing tidak sah sudah lama berlaku sejak sebelum pandemik, namun kebanyakan kita hanya tutup masa sebab keadaan ekonomi baik.
“Kita telah buat aduan kepada Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (MSIA) namun badan itu tidak ada kuasa eksekutif untuk bertindak. KDN perlu melihat perkara ini,” katanya.
Masalah orang tengah
Pengurus Besar MSIA Jeff Nor Jettey memberitahu The Malaysian Insight, bilangan pengawal keselamatan tidak sah lebih ramai berbanding mereka yang memiliki permit.
Merujuk angka daripada KDN dan Jabatan Imigresen, beliau berkata terdapat kira-kira 30,000 warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Bagaimanapun katanya, di Lembah Klang saja dianggarkan terdapat kira-kira 20,000 hingga 40,000 pengawal keselamatan tidak sah.
Tetapi menurut Jeff, sukar untuk MSIA memantau syarikat yang ingkar, kerana wujudnya peranan orang tengah.
“Dalam sesetengah kes, syarikat itu sendiri tidak tahu mereka menggaji pekerja tidak sah kerana penglibatan orang tengah.
“Orang tengah menyediakan pengawa keselamatan kepada syarikat tanpa diketahui mereka adalah pekerja tidak sah. Orang tengah ini hanya mahukan keuntungan dan membayar gaji rendah kepada pekerja asing yang datang ke negara ini dengan permit untuk kerja lain,” kata Jeff.
Beliau berkata ahli persatuan melaporkan sekurang-kurangnya 200 pengawal keselamatan daripada kalangan syarikat ahli tidak dihantar bertugas.
“Angka ini mungkin lebih tinggi,” katanya.
Jeff turut bersetuju kerajaan tidak memberi perhatian sepenuhnya terhadap masalah pengawal keselamatan tidak sah.
“Keutamaan diberikan adalah salah dan kurang penguatkuasaan. Kerajaan juga perlu lebih serius dan perlu perbetulkan keutamaan.
“Pergi ke pusat membeli-belah dan kawasan perumahan, kamu akan terkejut,” kata Jeff yang menggesa masyarakat untuk beri perhatian kepada butiran seperti pakaian seragam yang dipakai pengawal keselamatan.
Pengawal keselamatan yang sah akan memakai seragam lengkap dengan lambang persatuan dan syarikat. Manakala pengawal keselamatan tidak sah hanya memakao lambang MSIA tanpa logo syarikat, katanya.
Kebimbangan mengenai keselamatan
Bagi pengawal keselamatan Nepal yang tidak ada kerja kerana PKP dan kurang permintaan daripada pelanggan, mereka yang menunggu masa sebelum permit mereka tamat, sekali gus menghentikan peluang untuk mereka medapat kehidupan lebih baik apabila bekerja di luar negara.
Majikan bertanggungjawab juga terpaksa menanggung kos untuk menyediakan penginapan, makanan dan elaun kepada pengawal keselamatan yang tidak bekerja.
Seorang lagi pemilik syarikat keselamatan yang akan teruskan perniagaan walaupun kurang pekerjaan berkata, beliau tidak akan memperbaharui kontrak bagi permit yang akan tamat tidak lama lagi.
“Kita tidak tahu bila keadaan akan pulih,” katanya.
Selain kecewa dengan masalah penggunaan pengawal keselamatan tidak sah, terdapat juga masalah keselamatan lain.
Seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang hanya dikenali sebagai Krishna berkata, pengawal keselamatan tidak sah ini akan melarikan diri atau bersembunyi jika berlaku sebarang insiden.
“Mereka takut untuk ke balai polis kerana mereka bekerja secara tidak sah. Namun bagi pengawal keselamatan sah seperti kami, kami boleh berikan keterangan kepada polis,” katanya yang berusia 39 tahun.
Tambah rakan sekerjanya, Anat Paresh, pengawal keselamatan sah dilatih untuk menangani sebarang situasi.
“Kami dilatih bagaimana untuk berdepan kes kecurian dan apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan ketika insiden. Saya tidak rasa pengawal keselamata tidak sah diajar untuk mengendalikan kes seperti ini. Mereka akan melarikan diri sekiranya berlaku apa-apa.” – 8 Jun, 2020.
Komen