Segera vaksin pengawal keselamatan, gesa persatuan


Noel Achariam

Pengawal keselamatan adalah barisan hadapan di semua premis yang dijaga dan berisiko tinggi dijangkiti, kata PIKM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Jun, 2021.

INDUSTRI keselamatan menggesa pihak berkuasa menjadikan pengawal keselamatan sebagai petugas barisan hadapan dan divaksinasi secepat mungkin, kata Ramli Yusuff.

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) itu berkata banyak kluster melibatkan pengawal keselamatan sejak pandemik Covid-19 meletus di negara ini.

Beliau berkata mereka sentiasa bimbang jika pekerja mereka tidak divaksin, lebih banyak kes atau kluster akan muncul tambahan dengan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang tinggi.

Ramli berkata mereka  memohon kerajaan menjadikan mereka barisan hadapan utama malah telah mengutus surat kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Februari tahun ini.

“Kementerian Kesihatan beritahu kami untuk nasihati anggota dan pengawal keselamatan kami mendaftar secara individu melalui MySejahtera.

“PIKM berharap kerajaan beri perhatian namun tidak ada respons,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ramli berkata pada 31 Mei mereka telah mengutus surat rayuan terus kepada menteri penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berharap beliau mempertimbangkan keadaan mereka.

Katanya, terdapat 900 syarikat keselamatan dilesenkan oleh Kementerian Dalam Negeri di seluruh negara, membekalkan pengawal kepada pelbagai industri dan agensi kerajaan.

“Lebih 120,000 pengawal keselamatan bekerja sepanjang waktu memastikan keselamatan pelanggan mereka, dan tugas ini juga bagi membantu polis menguruskan keselamatan dalam masyarakat.

“Sebahagian besar mereka termasuk dalam kumpulan umur 25 hingga 60 tahun dan mereka belum diberi pilihan untuk vaksinasi lagi.”

Ramli berkata paling terkesan adalah pengawal keselamatan Nepal, yang termasuk dalam kluster berkaitan keselamatan sejak tahun lalu.

Persatuan bimbang jika pekerja tidak divaksin, lebih banyak kes akan muncul tambahan dengan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2021.

Katanya, berdasarkan maklumat dari anggota mereka, terdapat lebih kurang 100 pengawal positif sejak perintah kawalan pergerakan pertama tahun lalu dan lebih kurang 20 pengawal didapati positif sejak Januari tahun ini.

PIKM berkata menurut data Kementerian Dalam Negeri, lebih kurang 29,000 pengawal keselamatan Nepal di seluruh negara.

Mengenai berapa ramai pengawal keselamatan divaksin setakat ini, Ramli berkata mereka tidak ada angka tersebut, tetapi telah menasihati anggotanya mendaftar melalui MySejahtera seperti diusulkan Kementerian Kesihatan.

“Daripada komunikasi harian dengan anggota, kami selalu dapat permintaan supaya kerajaan ambil perhatian dan memvaksinasi pengawal keselamatan.

“Ini menunjukkan sebahagian besar pengawal belum divaksinasi. Juga, kami faham kerajaan akan tanggung semua kos vaksinasi.”

Terdapat 100 pengawal keselamatan positif sejak PKP pertama tahun lalu dan 20 positif sejak Januari tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2021.

Menjaga masyarakat di seluruh negara

Beliau berkata lebih kurang 70,000 pengawal keselamatan ditempatkan di pusat membeli-belah, premis peruncitan, bank, tempat komersial lain selain kompleks kediaman di seluruh negara.

Ramli berkata ada yang diletakkan di hospital, sekolah dan premis berkaitan kerajaan.

Tambah Ramli, pengawal keselamatan perlu diberi keutamaan kerana mereka berinteraksi dengan orang awam setiap hari sebagai sebahagian daripada pekerjaan mereka, menjadikan mereka rentan terhadap jangkitan.

“Pengawal keselamatan adalah barisan hadapan di semua premis yang dijaga dan mereka berisiko tinggi dijangkiti.

“Mereka di sana untuk memastikan semua pengunjung atau pembeli (termasuk kakitangan) membuat pemeriksaan suhu dan pendaftaran di pintu masuk.”

Katanya prosedur operasi standard penting yang lain adalah memastikan orang masuk dan menjaga penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis.

“Oleh itu, kami mahu kerajaan memberi keutamaan agar pengawal keselamatan divaksinasi.” – 23 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen