Kes kematian pengawal keselamatan, polis tidak boleh tahan semula ahli Bersatu


Pengawal keselamatan Thava Sagayam diserang ahli Pemuda Bersatu bahagian Kota Baru, Noor Azhar Muhammad, dan terpaksa menjalani lapan pembedahan akibat serangan itu. – Gambar ihsan keluarga mangsa, 3 September, 2021.

POLIS tidak boleh menahan semula seorang ahli pemuda Bersatu yang sebelum ini didakwa kerana menyerang seorang pengawal keselamatan, kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Bagaimanapun katanya, polis akan mengemukakan pertuduhan lebih berat ketika sebutan kes berkenaan di mahkamah pada 9 September.

Mengikut Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang dibebaskan atau disabitkan bersalah tidak boleh dibicarakan lagi atas kesalahan sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu dibatalkan dan perbicaraan semula diadakan atas arahan mahkamah lebih tinggi.

Polis mengklasifikasikan semula kes membabitkan seorang pengawal keselamatan Thava Sagayam, yang meninggal dunia pada Jumaat lalu di rumahnya di Ipoh, Perak, sebagai kes bunuh.

Mior memberitahu The Malaysian Insight polis pada masa ini sedang menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya.

“Tertuduh dijangka hadir ke mahkamah pada 9 September untuk sebutan kes tetapi kami juga melihat kepada pertuduhan lebih berat dikenakan kepadanya.

“Kami menunggu jawapan timbalan pendakwa raya,” katanya.

Noor Azhar Muhammad, yang dilaporkan ahli Pemuda Bersatu bahagian Kota Baru sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan apabila menyerang Thava, 64, menggunakan meja di sebuah kondominium di Ipoh pada 29 Disember.

Dia pada masa ini dalam ikat jamin sehingga sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret di Ipoh pada 9 Semptember.

Dilaporkan, Thava diserang selepas enggan membenarkan anak lelaki Noor Azhar menggunakan kolam renang yang ditutup pada masa itu.

Thava dimasukkan ke hospital selepas serangan itu dan menjalani lapan pembedahan di kepala.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru, tetapi keluarganya mendakwa kesihatan Thava merosot adalah kesan daripada serangan itu.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, bagaimanapun berkata polis perlu menahan semula Noor Azhar kerana kematian mangsa.

“Bagi kesalahan mencederakan, boleh diikat jamin tetapi pertuduhan bunuh, tidak ada ikat jamin.

“Lelaki terbabit boleh ditahan jika pendakwa bersetuju untuk menambah pertuduhan. Namun, polis boleh dan sepatutnya menahan pelaku.

“Walaun bagi tujuan siasatan (polis boleh menahannya) kerana kematian baru berlaku. Ini adalah perkembangan dalam kes berkenaan,” katanya. – 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen