Ahli Parlimen Kota Melaka persoal laporan EIA terkini projek MICT


Noel Achariam

Projek Melaka Gateway bernilai RM42 bilion itu dilancarkan pada 2014 oleh bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2023.

PEMAJU Melaka International Cruise Terminal (MICT) mesti mematuhi semua keperluan ditetapkan termasuk melengkapkan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA), sebelum projek itu diberi kebenaran, kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Khoo berkata beliau tidak pasti sama ada projek itu sudah selesai kajian EIA.

“Pemaju perlu mengikut prosedur (sebelum mendapat kelulusan). Jadi, di manakah laporan EIA?

“Mereka perlu menyediakan laporan itu sama seperti projek pembangunan lain. Setakat ini kita tidak mendengar sama ada laporan itu sudah dibuat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian sedang berbincang dengan kerajaan Melaka untuk menyambung semula projek MICT, yang sebelum ini ditarik lesen operasi pelaburannya kerana beberapa isu.

Beliau berkata kerja penambakan hampir siap dan terdapat pelbagai implikasi negatif jika projek Melaka Gateway dihentikan.

“Kami tiada masalah untuk menyokong kesinambungan projek ini, tetapi kita perlu mengambil kira pandangan kerajaan negeri,” katanya.

Khoo dalam pada itu berkata beliau sudah bertemu Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membincangkan isu itu.

“Mereka berkata ada laporan (EIA), tetapi saya difahamkan ia laporan lama dan bukan laporan yang dikemas kini.

“Jadi, setahu saya mereka (pemaju) belum menyediakan laporan (semasa).

“Pendirian saya sejak hari pertama mesti ada (laporan EIA). Ikut undang-undang.”

MICT melibatkan kerja-kerja penambakan di bawah projek Melaka Gateway, pembangunan bercampur yang sepatutnya di empat pulau buatan.

Projek Melaka Gateway bernilai RM42 bilion itu dilancarkan pada 2014 oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak.

Kerja sepatutnya dimulakan pada 2018 dan siap pada 2025. Bagaimanapun, ia dibatalkan pada 2020 oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Baru-baru ini, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional menyerahkan semula projek itu kepada pemaju.

Penambakan semula 550 hektar di Selat Melaka dijangka mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan, menarik 2.5 juta pelancong setiap tahun dan menjana RM1.19 trilion untuk ekonomi tempatan.

Bulan lepas, Save Our Seashores Melaka (SOS Melaka) menggesa agar lebih ketelusan dan kejelasan mengenai rungutan dibangkitkan mengenai projek Melaka Gateway di mana terminal itu akan ditempatkan.

Ia berkata Loke salahmaklum mengenai projek itu kerana tidak mengambil kira pelbagai pandangan dan kebimbangan dibangkitkan oleh penduduk dan kumpulan masyarakat sivil sejak sembilan tahun lalu apabila projek itu dimulakan.

Jurucakap SOS Melaka Chan Tsu Choong juga berkata Loke hanya melihat penyambungan terminal kapal dan bukannya keseluruhan projek Melaka Gateway.

“Kami tidak menentang terminal kapal tetapi rungutan ditimbulkan oleh penduduk di sini perlu ditangani.

“Mereka masih belum menyelesaikan isu laporan EIA dan semua isu sosial yang ditimbulkan oleh Melaka Gateway. – 4 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen