Hentikan pengumuman tidak bertanggungjawab laluan Melaka-Dumai


SAYA merujuk kepada pengumuman Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Melaka Ab Rauf Yusoh mengenai perancangan membina laluan sepanjang 120km untuk menghubungkan Melaka ke Dumai, Indonesia.

Ini bukannya kali pertama Rauf telah membuat pengumuman sedemikian. Pada Mac 2022, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri bercadang membina laluan rel dasar laut sepanjang 47km menghubungkan Melaka dan Dumai, yang akan mengambil masa 4 hingga 5 tahun untuk disiapkan. 

Kini pada September, beliau mengumumkan bahawa laluan yang dicadangkan tersebut adalah sepanjang 120km, sama ada dalam bentuk jambatan atau terowong dasar laut, dan akan mengambil masa 20 tahun untuk dibangunkan.

Rauf dan kerajaan negeri harus berhenti membuat pengumuman secara membuta tuli tanpa maklumat yang lengkap dan konsisten.

Pengumuman sedemikian sangat tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan orang ramai dan para pelabur, di samping mencemarkan kredibiliti kerajaan.

Jika kerajaan negeri benar-benar serius untuk melaksanakan projek tersebut, mereka sepatutnya mengemukakan maklumat penuh dan berbincang dengan pemegang taruh secara terbuka.

Pertamanya, kerajaan negeri harus menyatakan sama ada kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) dan analisa kos-faedah (cost-benefit analysis) telah dilakukan untuk projek ini. 

Rauf tidak wajar membuat spekulasi bahawa projek tersebut akan mendatangkan pertumbuhan ekonomi tanpa mengemukakan sebarang fakta dan analisa.

Dalam sebuah artikel di akhbar Jakarta Post bertarikh 19 Mac 2021, Prof. Ade Maman Suherman dan Dr Hazmi Rusli telah menyatakan bahawa sebuah projek serupa telah menjalani kajian kebolehlaksanaan lebih 10 yang lalu.

Dianggarkan projek sedemikian akan menelan belanja lebih RM52 bilion, di samping mendatangkan kerosakan alam sekitar. Projek tersebut juga mendatangkan bahaya dan kesesakan kepada kapal-kapal di laluan Selat Melaka.

Kerajaan Persekutuan juga perlu menyatakan pandangan dan pendirian mereka terhadap projek ini memandangkan ia merupakan suatu projek infrastruktur awam yang besar dan melibatkan kerjasama dengan negara Indonesia.

Rauf juga menyatakan bahawa projek ini akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dan kerajaan negeri tidak akan menanggung sebarang kos.

Atas dasar keterbukaan, Rauf harus mengumumkan nama dan maklumat syarikat swasta yang terlibat, termasuklah kelayakan dan keupayaan kewangan mereka untuk melaksanakan projek sebesar ini. Tiada syarikat swasta yang akan melaksanakan projek ini secara percuma.

Apakah terma dan syarat konsesi yang diberikan? Adakah rakyat dan kerajaan akan membayar untuk projek ini secara tidak langsung?

Orang ramai dan para pelabur telah memandang sinis terhadap pengumuman projek ini. Tidak dilupakan bahawa Melaka telah mempunyai banyak projek-projek “gajah putih” dan yang terbengkalai sebelum ini, termasuklah projek monorail, Pulau Melaka yang ditambak, dan pusat-pusat membeli belah yang tidak mampan.

Lebih wajar jika kerajaan negeri Melaka memberi fokus kepada projek-projek praktikal yang benar-benar boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat dan ekonomi tempatan, bukannya projek mega yang akan menelan berbilion ringgit. – 9 September, 2022.     

* Khoo Poay Tiong, ahli Parlimen Kota Melaka.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen