KERAJAAN negeri Melaka sepatutnya mengemukakan maklumat penuh dan berbincang dengan pemegang taruh secara terbuka jika benar-benar serius untuk melaksanakan projek membina laluan bagi menghubungkan Melaka ke Dumai, Indonesia, kata seorang ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Melaka Ab Rauf Yusoh dan kerajaan negeri juga harus berhenti membuat pengumuman secara membuta tuli tanpa maklumat yang lengkap dan konsisten.
“Pengumuman sedemikian sangat tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan orang ramai dan para pelabur, di samping mencemarkan kredibiliti kerajaan.
“Pertamanya, kerajaan negeri harus menyatakan sama ada kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) dan analisa kos-faedah (cost-benefit analysis) telah dilakukan untuk projek ini.
“Rauf tidak wajar membuat spekulasi bahawa projek tersebut akan mendatangkan pertumbuhan ekonomi tanpa mengemukakan sebarang fakta dan analisa,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataannya itu mengulas pengumuman Rauf semalam, bahawa laluan baharu menghubungkan Malaysia dan Tanah Besar Sumatera, Indonesia melalui Masjid Tanah-Dumai melibatkan jarak kira-kira 120km bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta.
Menurut Rauf, laluan yang dirancang dibina dalam bentuk terowong atau jambatan itu dijangka mengambil masa 20 tahun sekali gus memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.
Memetik sebuah artikel yang diterbitkan akhbar Jakarta Post tahun lalu, Khoo berkata projek sedemikian dianggarkan akan menelan belanja lebih RM52 bilion, di samping mendatangkan kerosakan alam sekitar.
Projek tersebut juga akan mendatangkan bahaya dan kesesakan kepada kapal-kapal di laluan Selat Melaka, tambahnya.
Beliau seterusnya menegaskan kerajaan Persekutuan juga perlu menyatakan pandangan dan pendirian mereka terhadap projek ini memandangkan ia projek infrastruktur awam yang besar dan melibatkan kerjasama dengan negara Indonesia.
“Rauf juga menyatakan bahawa projek ini akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dan kerajaan negeri tidak akan menanggung sebarang kos.
“Atas dasar keterbukaan, Rauf harus mengumumkan nama dan maklumat syarikat swasta yang terlibat, termasuklah kelayakan dan keupayaan kewangan mereka untuk melaksanakan projek sebesar ini. Tiada syarikat swasta yang akan melaksanakan projek ini secara percuma.
“Apakah terma dan syarat konsesi yang diberikan? Adakah rakyat dan kerajaan akan membayar untuk projek ini secara tidak langsung?” katanya.
Kata Khoo lagi, kerajaan negeri Melaka sepatutnya memberi fokus kepada projek-projek praktikal yang benar-benar boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat dan ekonomi tempatan, bukannya projek mega yang akan menelan berbilion ringgit.
“Tidak dilupakan bahawa Melaka telah mempunyai banyak projek-projek ‘gajah putih’ dan yang terbengkalai sebelum ini, termasuklah projek monorail, Pulau Melaka yang ditambak, dan pusat-pusat membeli belah yang tidak mampan.” – 9 September, 2022.
Komen