LAPORAN penilaian kesan alam sekitar (EIA) perlu dibentangkan sebelum projek Melaka International Cruise Terminal (MICT) diberi kebenaran, kata sebuah kumpulan masyarakat sivil.
Save our Seashores Melaka (SOS Melaka) menyeru agar projek itu lebih telus dan jelas berikutan keluhan yang mereka bangkitkan mengenai projek Melaka Gateway di mana terminal itu akan ditempatkan.
Mereka percaya Menteri Pengangkutan Anthony Loke diberi maklumat yang salah mengenai projek itu kerana beliau tidak mengambil kira pelbagai pandangan dan kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh penduduk dan kumpulan masyarakat sivil sejak sembilan tahun lalu apabila projek itu dimulakan.
Jurucakap SOS Melaka Chan Tsu Choong berkata Loke hanya melihat kesinambungan terminal pelayaran dan bukannya keseluruhan projek Melaka Gateway.
“Kami tidak menentang terminal pelayaran tetapi rungutan yang ditimbulkan oleh penduduk di sini perlu ditangani.
“Pertamanya mereka masih belum menyelesaikan isu laporan EIA dan semua isu sosial yang ditimbulkan (Melaka Gateway),” katanya kepada The Malaysian Insight.
MICT melibatkan kerja-kerja penambakan di bawah projek Melaka Gateway, pembangunan bercampur yang sepatutnya terletak di empat pulau buatan.
Projek Melaka Gateway bernilai RM42 bilion itu dilancarkan pada 2014 oleh bekas perdana menteri Najib Razak.
Kerja pembinaan akan dimulakan pada 2018 untuk disiapkan pada 2025. Bagaimanapun, ia dibatalkan pada 2020 oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional menyerahkan semula projek itu kepada pemaju.
Perjanjian untuk menuntut semula tanah seluas 550 hektar di Selat Melaka dijangka mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan, menarik 2.5 juta pelancong setiap tahun, dan menjana RM1.19 trilion untuk ekonomi tempatan.
Chan berkata menteri alam sekitar sebelum ini mendedahkan di Parlimen pada Ogos 2022 bahawa tiada laporan EIA diluluskan untuk projek Melaka Gateway.
Minggu lalu, Loke berkata Kementerian Pengangkutan sedang berbincang dengan kerajaan negeri Melaka untuk meneruskan projek MICT yang telah dibatalkan lesen operasi pelaburannya sebelum ini berikutan beberapa isu.
Beliau berkata MICT yang membabitkan kerja-kerja penambakan di bawah projek Melaka Gateway sudah hampir siap dan akan memberi pelbagai implikasi negatif sekiranya ia dihentikan.
“Kita tiada masalah untuk menyokong kesinambungan projek ini, tetapi kita perlu mengambil kira pandangan kerajaan negeri.
“Saya telah mengarahkan pegawai dari Lembaga Pelabuhan Klang untuk menghubungi kerajaan negeri Melaka bagi membincangkan khususnya isu terminal pelayaran,” katanya.
Chan mempersoalkan jika sebarang kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan untuk cadangan terminal pelayaran itu.
“Memandangkan ia merupakan infrastruktur utama, ia mesti disokong oleh beberapa bentuk kajian kebolehlaksanaan.
“Kajian teknikal juga penting, kerana beberapa kawasan di pantai mungkin terlalu cetek untuk kapal pesiar berlabuh.”
Isu lain yang dibangkitkan oleh penduduk dan SOS Melaka adalah mengenai 60% tanah tebus guna yang tidak dilindungi sehingga menyebabkan hakisan dan pencemaran berterusan kepada kawasan sekitar.
Chan berkata, projek Melaka Gateway telah menyebabkan pencemaran besar kepada kawasan sekitar terutama di pinggir laut Penempatan Portugis.
“Kawasan itu adalah persekitaran yang berkembang maju dengan kepelbagaian biologi yang kaya. Masyarakat Portugis bergantung kepada laut untuk keperluan sosio-ekonomi dan budaya mereka.
“Sejak projek dimulakan, pinggir laut Penempatan Portugis telah dipenuhi dengan lumpur tebal dan bau yang tidak menyenangkan.”
Beliau menambah bahawa jeti itu tidak lagi boleh diakses oleh bot nelayan dan terdapat sedikit tanda kehidupan marin.
“Tebing lumpur telah mengganggu aliran air ke longkang berhampiran, sekali gus meningkatkan risiko banjir.
“Daripada menyokong pemaju menyiapkan projek penambakan, menteri perlu memastikan mereka membersihkan dan menyelesaikan pencemaran sedia ada sebelum membenarkan sebarang aktiviti lanjut di kawasan itu.”
Beliau berkata, pihak berkuasa dan pemaju tidak seharusnya membebankan projek itu, sebaliknya menangani isu yang telah dibangkitkan.
“Isu sedia ada harus dilihat sebelum sebarang lesen dikeluarkan atau membina terminal pelayaran.”
Beliau berkata pemaju, kerajaan negeri Melaka dan kedua-dua Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim perlu menangani semua isu itu.
“Mereka sepatutnya mengenakan moratorium ke atas projek itu. Kita harap ia (terminal pelayaran) belum diluluskan lagi kerana isu sedia ada perlu dilihat terlebih dahulu.
“Kami akan terus memainkan peranan kami dan membantah projek yang tidak mampan untuk Melaka.”
Chan berharap Loke akan mengambil pendekatan berbeza dan berunding dengan penduduk setempat sebelum membuat sebarang keputusan dan melakukan lawatan tapak.– 15 Mac, 2023.
Komen