PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti mempunyai kemahuan politik untuk memperkenalkan moratorium pinjaman bank dan pengecualian faedah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu kelangsungan perniagaan mereka, kata Lim Guan Eng hari ini.
Pengerusi DAP itu berkata kelemahan ringgit terus memberi tekanan kepada kos input dan bahan yang diimport untuk banyak perniagaan terutama PKS.
Beliau juga berkata Ismail Sabri harus memberi perhatian lebih kepada keperluan mendesak bagi menawarkan sokongan kewangan untuk perniagaan terjejas daripada bimbang mengenai tarikh pilihan raya umum.
“Moratorium pinjaman bank hanya akan berlaku jika terdapat satu lagi Memorandum Persefahaman (MoU) 2.0 yang serupa antara Pakatan Harapan (PH) dan perdana menteri atau jika pilihan raya umum diadakan tahun depan dan bukannya pada tahun ini,” katanya.
Lim menambah, MoU antara PH dan Ismail pada 13 September 2021 bersetuju untuk mengetepikan kadar faedah dan moratorium pinjaman bank untuk kumpulan berpendapatan rendah.
MoU juga bersetuju untuk tambahan suntikan tunai RM45 bilion bagi memberi bantuan kewangan tambahan dan geran untuk membantu perniagaan, terutama PKS.
Faedah tambahan yang dinikmati oleh orang ramai dan perniagaan hari ini adalah hasil langsung daripada MoU yang ditandatangani antara semua pemimpin tertinggi PH dan perdana menteri, katanya.
“Walaupun sesetengah pihak mungkin mengatakan bahawa keputusan sama ada untuk memberikan atau tidak moratorium pinjaman bank adalah bergantung kepada bank, ia sebenarnya adalah kemahuan politik dan bukan pertimbangan perbankan swasta, yang akan terbukti penting seperti yang berlaku apabila MOU pertama ditandatangani.
“PH akan memberikan sokongan politik dan awam yang diperlukan bukan sahaja untuk moratorium pinjaman bank tetapi juga untuk pengecualian kadar faedah bagi tempoh tertentu untuk membantu kumpulan sasar.
“Kerajaan harus memberi keutamaan kepada keperluan rakyat berbanding pertimbangan keuntungan yang lebih daripada cukup bagi sektor perbankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kekurangan buruh asing yang teruk masih belum dapat diselesaikan, ringgit kekal menyusut manakala kerajaan meneruskan penggubalan dasar yang tidak konsisten dan pusingan U, birokrasi dan tadbir urus yang lemah.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan untuk memberikan moratorium kepada PKS adalah bergantung kepada bank.
Bagaimanapun kerajaan boleh menggalakkan dasar yang membantu rakyat, katanya sambil melahirkan harapan agar bank dan Bank Negara Malaysia akan terus menyokong PKS serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang benar-benar menghadapi kesukaran. – 14 September, 2022.
Komen