PERSATUAN pengguna kini lega kerana Suruhanjaya Persaingan (MyCC) mengakui Touch ‘n Go menikmati monopoli kutipan bayaran tol lebuh raya dan pengangkutan awam.
Persekutuan Pertubuhan Pengguna (Fomca) juga gembira kerana MyCC akhirnya membuat keputusan untuk memihak kepada rakyat, walaupun hanya selepas campur tangan perdana menteri.
“Amat baik sekali apabila MyCC akhirnya berdiri teguh bersama rakyat dan menjangka menamatkan monopoli Touch ‘n Go selari dengan tuntutan rakyat,” kenyataan Fomca dipetik.
Namun amat menyedihkan kerana MyCC sepatutnya memandu usaha tersebut dan tidak hanya bertindak selepas campur tangan perdana menteri, kata setiausaha agungnya Paul Selvaraj.
“MyCC hanya mengisytiharkan keperluan menamatkan monopoli Touch ‘n Go selepas kenyataan perdana menteri mengenai kedudukan monopoli (itu).
“Ia sepatutnya menjadi agensi yang memimpin untuk memastikan keadilan kepada pengguna,” kata Selvaraj yang menyifatkan pengakuan itu sebagai kemenangan kecil buat rakyat.
Menurut beliau, aduan dibuat sejak lima tahun lalu mengenai monopoli Touch ‘n Go yang menekan pengguna dengan harga tinggi, mutu perkhidmatan buruk dan pengabaian ke atas aduan.
Namun pada Ogos 2020, MyCC secara rasmi memaklumkan kepada Fomca bahawa isu berkenaan tidak menimbulkan perhatian mengenai persaingan dan hanya isu pengguna, katanya.
Apabila isu mengenai harga tinggi sistem RFID Touch ‘n Go dibangkitkan, MyCC juga mendakwa tuduhan ke atas amalan monopoli firma itu hanyalah silap faham, tambah Selvaraj.
Suruhanjaya itu terus berpendirian ia hanya isu pengguna dan bukan kes persaingan, walhal pengguna tiada pilihan lain selain menggunakan khidmat Touch ‘n Go, katanya.
Namun selepas siasatan pasukan petugas khas kementerian pengguna, barulah jelas kerajaan tidak boleh bergantung pada hasil kajian MyCC, katanya.
Dengan berpandukan hasil kajian tersebut, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapati status monopoli Touch ‘n Go tidak boleh diterima.
Sewaktu ditanya dalam satu pertemuan bersama kumpulan anak muda di ibu negara pada Ahad, Anwar berkata monopoli Touch ‘n Go perlu dipertimbang semula.
“Touch ‘n Go beroperasi selama lebih dua dekad, belum ada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dalam sistem ini…
“Saya rasa anda betul, kita perlu mempertimbang semula perkara ini,” kata perdana menteri seperti dilaporkan.
MyCC seterusnya pada Selasa memberi reaksi positif ke atas pendirian Anwar untuk segera meneliti isu monopoli Touch ‘n Go dalam sistem pembayaran tersebut.
Ia turut menyebut, monopoli akan dihentikan dengan sistem baharu yang membolehkan pengguna membayar tol dan pengangkutan awam dengan kaedah pembayaran lain.
MyCC juga memberi jaminan memantau tingkah laku Touch ‘n Go bagi memastikan penyedia sistem baharu dapat menyertai pasaran ini. – 23 Mac 2023.
Komen