Pengguna untung rekrut pekerja asing tanpa ejen, kata Fomca


Ravin Palanisamy

Pekerja asing yang diambil tanpa menerusi agensi atau orang tengah boleh direkrut dengan harga lebih murah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2023.

PUTRAJAYA harus mengotakan keputusannya untuk menamatkan perkhidmatan ejen pihak ketiga dalam pengambilan pekerja asing, kata presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason.

Beliau berkata kerajaan termasuk pentadbiran sebelum ini, hanya “bercakap” tanpa menghasilkan keputusan akhir yang berkesan.

“Setiap kerajaan, mereka hanya bercakap mengenai perkara ini tetapi akhirnya mereka tidak melaksanakannya.

“Kali ini ia perlu dilaksanakan,” kata Marimuthu kepada The Malaysian Insight.

Pada Rabu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau mahu Kementerian Dalam Negeri berhenti menggunakan ejen untuk mengambil pekerja asing berikutan kos yang tinggi.

Beliau mengambil contoh pekerja asing dari Nepal, yang mana majikan hanya perlu membayar kira-kira RM3,700 bagi setiap pekerja, berbanding pekerja dari Bangladesh dan Indonesia, yang mana membabitkan ejen pihak ketiga berharga antara RM20,000 dan RM25,000 setiap pekerja.

Keesokan harinya, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata usaha sedang dilakukan untuk memastikan tiada pihak ketiga mendapat keuntungan daripada pengambilan pekerja asing.

Beliau juga berkata, Putrajaya sedang melihat mekanisme terbaik untuk majikan mengambil pekerja asing tanpa menggunakan agensi.

Marimuthu berkata, orang tengah dan ejen mengaut keuntungan daripada skim pengambilan pekerja asing selama bertahun-tahun.

Beliau berkata, pengguna boleh mendapat manfaat sekiranya amalan “peras ugut” itu dihentikan.

“Orang tengah mendapat manfaat selama beberapa dekad melalui cara ini (pengambilan pekerja asing),” katanya.

“Menghapuskan semua ini akan memastikan buruh boleh didapati dengan harga murah dan pengguna juga boleh mendapat manfaat.

“Sebagai contoh, jika sebuah restoran boleh mendapatkan pekerja yang mencukupi tanpa semua kerenah ini, mungkin industri mungkin tidak mempunyai masalah untuk menurunkan harga makanan.

“Malah bagi pembantu rumah, orang ramai akhirnya membayar jumlah yang tidak masuk akal untuk mendapatkan pembantu rumah tetapi dengan menghapuskan semua agensi dan orang tengah ini, pengguna boleh menjimatkan wang,” tambahnya.

Semalam, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, keputusan untuk menamatkan perkhidmatan ejen pihak ketiga akan menyaksikan penjimatan kira-kira 80% daripada kos semasa untuk membawa masuk setiap pekerja asing dari negara sumber.

Beliau juga berkata, menghapuskan orang tengah daripada proses pengambilan pekerja asing akan menamatkan perhambaan moden dan menaikkan imej majikan Malaysia.

Syed Hussain berkata, yuran pengambilan tinggi yang dikenakan oleh ejen pihak ketiga sudah lama menjadi punca utama peningkatan kos bagi buruh asing yang ingin bekerja di Malaysia.

Disebabkan pembabitan ejen pihak ketiga, pekerja terpaksa mengambil pinjaman berfaedah tinggi atau menggadaikan harta mereka untuk membayar yuran pengambilan yang tinggi, sekali gus meletakkan mereka dalam “bebanan hutang”. – 12 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen