Pertimbang semula kebenaran jual mercun, kata kumpulan pengguna


Alfian Z.M. Tahir

Kumpulan pengguna turut melahirkan kebimbangan mengenai isu keselamatan melibatkan mercun dan bunga api. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari 2023.

PUTRAJAYA harus mempertimbangkan semula keputusannya untuk menghalalkan dan mengawal selia penjualan bunga api dan mercun, kata kumpulan pengguna.

Mereka berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu memperkukuh penguatkuasaannya bagi membendung penyeludupan mercun ke negara ini sebelum memutuskan untuk mengawal barang itu.

Kumpulan pengguna turut melahirkan kebimbangan terhadap kesahihan kerana bunga api itu diklasifikasikan dalam kategori yang sama dengan dinamit yang berbahaya kepada orang ramai.

Minggu lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Kementerian Dalam Negeri akan menggubal peraturan untuk meliputi import dan penjualan mercun dan bunga api berikutan keputusan kabinet untuk membenarkannya.

Nga menambah keputusan muktamad itu tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa mengenai perkara seperti lesen import dan duti.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata terdapat begitu banyak kes kecederaan akibat mercun, sambil menambah bahawa langkah menghalalkan penjualan itu perlu dipertimbangkan semula.

Timbalan Ketua Setiausaha Fomca, Nur Asyikin Aminuddin berkata, dengan membenarkan penjualan bunga api, sindiket akan mudah menyeludup masuk ke negara ini dengan memalsukan permit import.

“Walaupun ada lesen yang diberikan, sindiket akan meniru dan membuat lesen palsu untuk menyeludup bunga api ke negara kita,” kata Asyikin.

Isnin lalu, beberapa organisasi kesihatan turut menyatakan kebimbangan mengenai perkara itu.

Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Pediatrik Asia Pasifik antara lain berkata kanak-kanak terdedah kerana mereka tidak menyedari bahayanya.

Kecederaan biasa termasuk melecur, luka, kehilangan jari dan kerosakan pada mata.

“Sebagai doktor kanan (pakar pediatrik, pakar bedah dan pakar kesihatan awam) yang telah bekerja dengan kesan merosakkan bunga api, kami mempunyai pengalaman dengan ramai kanak-kanak yang kehilangan jari dan mata; mengakibatkan hilang upaya sepanjang hayat,” kata kumpulan itu.

Sementara itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata tiada keperluan mendesak untuk kerajaan meneruskan rancangan itu.

Presidennya Nadzim Johan berkata, keadaan kini yang mana penjualan mercun adalah haram, perlu dikekalkan.

“Saya tidak nampak keperluan atau keperluan mendesak untuk menghalalkan perkara ini. Biarlah ia seperti sekarang di mana pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyeludup atau menjual di pasaran gelap.

“Tidak perlu menghalalkannya. Konsepnya sama seperti menghalalkan pelacuran atau ah long (penjenayah pinjaman). Ini tidak akan membawa kita sebagai sebuah negara ke hadapan,” kata Nadzim.

Sebelum ini Nga berkata pelesenan akan melibatkan pengimport dan pemborong.

“Menyalakan mercun adalah amalan biasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Orang ramai akan bermain mercun walaupun pada Hari Raya, Deepavali, malah ketika Krismas.

“Ini boleh membawa hasil berjuta-juta ringgit kepada kerajaan jika ini dibenarkan.

“Tambahan pula, dengan menghalalkannya, kita boleh menutup sindiket penyeludupan mercun dan bunga api,” Nga dipetik sebagai berkata semasa sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina kementerian itu.– 10 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen