Kadar lebih rendah jika GST diperkenal semula, kata kumpulan


Alfian Z.M. Tahir

Pengguna perlu penjelasan terperinci dan maklumat tepat mengenai pelaksanaan GST. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac, 2023.

TERDAPAT pelbagai reaksi daripada kumpulan masyarakat sivil mengenai hasrat kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular.

Walaupun kumpulan pengguna utama berkata ia menyokong idea itu, ia juga berkata kutipan cukai mesti adil dan berpatutan untuk rakyat.

Bagaimanapun, yang lain berkata maklumat yang lebih jelas mengenai mekanisme GST mesti disediakan kepada setiap orang jika sistem cukai itu dikembalikan semula.

Satu parti politik bagaimanapun menolak idea untuk mengembalikan GST, menganggapnya sebagai sistem cukai regresif.

Pada Khamis, Putrajaya berkata kerajaan tidak menolak sepenuhnya idea untuk mengembalikan GST, dengan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata kerajaan sedang menilai masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula GST.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata idea untuk memperkenalkan semula cukai itu baik tetapi kerajaan mesti mengukuhkan penguatkuasaan supaya tiada sesiapa terlepas daripada membayar cukai.

Ketua pegawai eksekutifnya Saravanan Thambirajah berkata kerajaan juga perlu memastikan kadar cukai tidak terlalu tinggi dan membebankan.

“Kami menyokong idea itu. Ia satu sistem cukai yang telus dan ia digunakan secara meluas di seluruh dunia. Cuma kita perlu pastikan pelaksanaan dan kadar cukai itu sesuai.

“Penguatkuasaan juga kena mantap. Bukan hanya orang biasa, tetapi yang berpendapatan tinggi kena bayar, tak boleh lari.

“GST boleh meningkatkan KDNK negara dan ia boleh dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Bagi Ayob Abdul Majid daripada Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Ampang, kerajaan wajar melaksanakan sistem cukai itu sekiranya ia lebih banyak memberi manfaat kepada orang ramai.

Beliau berkata beliau tidak kisah cukai itu dilaksanakan semula tetapi mengharapkan kadar yang lebih rendah.

“Peniaga dan penjaja kecil seperti kami, saya rasa impaknya adalah minimum tetapi ia bagus untuk semua jika kadarnya lebih kecil berbanding sebelum ini.

“Saya sebenarnya tidak kisah asalkan sistem cukai boleh meningkatkan ekonomi kita. Saya sedar ekonomi kita tidak begitu baik sekarang, inilah masanya untuk mengkaji dan melihat kesannya,” katanya.

Pakatan Harapan pernah berkempen untuk menghapuskan GST yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional pada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2023.

Teh Kee Sim, bekas pemimpin persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berkata kerajaan perlu menjelaskan cukai secara menyeluruh kepada orang ramai bagi mengelakkan salah tanggapan.

“Pada masa itu semua orang takut dengan GST, banyak salah tanggapan dan ia menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai terutama mereka yang berpendapatan rendah.

“Kerajaan perlu menyenaraikan setiap maklumat mengenai cukai itu kepada orang ramai supaya tidak berlaku salah faham. Sebagai orang dalam industri PKS, saya secara peribadi tahu ramai yang menerima maklumat salah mengenai GST beberapa tahun lalu,” katanya.

Cuba bentuk cukai lain

Bagaimanapun, bagi A Sivarajan daripada Parti Sosialis Malaysia, kerajaan tidak boleh lupa daripada komitmennya untuk memansuhkan GST.

Sivarajan berkata Malaysia boleh melakukan lebih banyak lagi dengan melaksanakan sistem cukai sedia ada seperti cukai durian runtuh atau cukai warisan.

“GST bukan cukai progresif tetapi sistem cukai regresif. Di bawahnya, pengilang kemudian pemborong dan akhirnya peruncit boleh menuntut semula cukai tetapi bukan kita pengguna. Pengguna tidak boleh menuntut semula cukai.

“Sejak hari GST diperkenalkan, kami menentangnya. Bagi kami, ketirisan melalui pembaziran dan penyelewengan kewangan, mesti diminimumkan jika tidak dihapuskan.

“Jika kita boleh menjamin tiada salah laku kewangan, wang itu pergi ke saluran yang betul, kita tidak perlukan GST,” katanya.

GST diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 2015, menimbulkan rungutan bahawa bayaran balik sangat perlahan sekali gus membantutkan pertumbuhan perniagaan.

Dari segi pengguna, GST 6% juga menyebabkan kemarahan yang meluas dalam kalangan rakyat Malaysia dan merupakan salah satu sebab utama pengundi tidak mengundi kerajaan pada 2018.

Cukai kepenggunaan dibatalkan oleh PH sejurus selepas ia berkuasa pada Mei 2018. Ia digantikan oleh SST.

Pada 2020, perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya akan meneliti semua pilihan untuk mencapai keseimbangan ekonomi yang baik termasuk memperkenalkan semula GST yang kontroversi.

Bagaimanapun perdana menteri Anwar Ibrahim memberitahu Bloomberg beliau menolak pengembalian semula GST buat masa ini, atau sebarang langkah lain yang boleh menyebabkan lebih banyak kesukaran kepada golongan miskin.

Beliau berkata kerajaannya akan cuba mengurangkan hutang besar Malaysia dan mengurangkan jurang belanjawan. – 13 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen