6 negeri pertimbang bubar DUN akhir Jun, kata MB Selangor


(Dari kiri) MB Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Ketua Menteri P Pinang Chow Kon Yeow, MB Kelantan Ahmad Yakob, MB Selangor Amirudin Shari, MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan MB Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja yang bersidang dua hari ini. – Gambar Facebook, 22 Februari, 2023.

MENTERI besar dan ketua menteri enam negeri, hari ini bersetuju untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada dua minggu terakhir Jun, kata Amirudin Shari.

Menteri besar Selangor itu berkata konsesi ini dipersetujui selepas mesyuarat ringkas di luar Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

“Persefahaman ini sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan DYMM Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing,” katanya.

Negeri yang akan mengadakan pilihan raya tahun ini adalah negeri ditadbir Pakatan Harapan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Kedua-dua blok itu adalah seteru politik di peringkat persekutuan.

Penggal bagi enam negeri ini berakhir pada akhir Jun tahun ini.

Negeri-negeri ini tidak membubarkan DUN masing-masing semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu kerana mahu memberi fokus kepada kerja tebatan banjir pada musim tengkujuh.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-261 akan diadakan selama dua hari. – 22 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen