Penarafan kepuasan terhadap Anwar 68%, kata Merdeka Center


Noel Achariam

POPULARITI Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri memperoleh penarafan sebanyak 68%, menurut tinjauan dijalankan Merdeka Center.

Pada masa yang sama, kerajaan perpaduan yang dipimpinnya mendapat penarafan 54%.

Ini berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada bulan kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November tahun lalu.

Merdeka Center berkata penarafan itu diperoleh berdasarkan sokongan 73% etnik Cina, 91% etnik India, kira-kira 70% Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan 60% pengundi Melayu.

“Hanya 20% pengundi melaporkan rasa tidak puas hati terhadap prestasinya ketika itu.

“Kaji selidik yang sama juga menyaksikan 54% pengundi berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan baharu, manakala 25% melaporkan rasa tidak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Tinjauan itu juga mengenal pasti kerajaan mendapat maklum balas positif daripada 67% etnik India, 65% etnik Cina, 42% Bumiputera bukan Islam, 39% Bumiputera Islam, dan 48% pengundi Melayu, di seluruh negara.

“Perlu diingat hampir satu perempat pengundi mengelak untuk memberikan pandangan mereka, menunjukkan sikap berhati-hati selepas empat tahun perkembangan politik meruncing yang mencengkam negara.

“Walaupun rasa berhati-hati kelihatan menguasai, terdapat juga keyakinan dalam banyak petunjuk.”

Berdasarkan petunjuk:

• 48% pengundi percaya negara kini menuju ke arah yang betul, berbanding hanya 20% pada Oktober 2022.

• 43% pengundi menyatakan keyakinan tentang ekonomi negara pada tahun akan datang, meningkat daripada 23% pada Oktober 2022.

• 38% pengundi optimis mengenai prospek kewangan peribadi mereka berbanding 26% pada Oktober 2022.

Merdeka Center berkata sikap “tunggu dan lihat” yang kuat mungkin disokong oleh kebimbangan pengundi yang kuat berhubung pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup.

Kata mereka, ia disebut hampir 20%, dan 19% masing-dalam tinjauan sebagai isu yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan baharu.

Ia diikuti dengan peningkatan pelaburan dalam ekonomi (12%), memerangi rasuah (10%), dan meningkatkan kualiti pendidikan (9%).

Tinjauan itu juga mendapati majoriti besar, sebanyak 79% pengundi mengalu-alukan keputusan pilihan raya.

Selain itu, pengundi juga diminta menilai pandangan mereka mengenai beberapa perkembangan sekitar pembentukan kerajaan perpaduan baru seperti berikut:

• 83% menerima pelantikan Yang di-Pertuan Agong Anwar sebagai perdana menteri ke-10.

• 77% percaya kerajaan perpaduan boleh mewujudkan kestabilan dan keterangkuman dalam politik negara.

• 75% menerima keputusan Perikatan Nasional untuk kekal sebagai pembangkang.

• 66% menerima keputusan Barisan Nasional untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan.

Merdeka Center berkata hasil tinjauan menunjukkan pengundi Malaysia ingin melupakan ketidakstabilan yang menyelubungi politik negara dan memberi ruang kepada kepimpinan baharu membuktikan diri mereka.

“Walaupun ramai menerima kerajaan perpaduan, orang ramai juga masih menyimpan penilaian mereka terhadap kerajaan baharu.

“Faktor utama dalam menentukan kepuasan awam ialah sejauh mana ia dapat menangani masalah lama pertumbuhan ekonomi yang lembap dan peningkatan kos sara hidup.”

Ia berkata penerimaan terhadap bajet negara 2023 yang dirombak yang akan dibentangkan dalam beberapa minggu akan datang akan menjadi peristiwa penting yang bakal memacu sambutan orang ramai terhadap pentadbiran baharu.

Tinjauan itu dilakukan oleh Merdeka Center for Opinion Research pada 26 Disember hingga 15 Januari untuk mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.

Sebanyak 1,209 pengundi berdaftar menjadi perserta yang terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera Islam, 6% Bumiputera Bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak).

Ia mencerminkan profil pilihan raya negara, ditemu bual melalui talian tetap dan telefon mudah alih.

Responden dipilih berdasarkan rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri. Tinjauan dibiayai oleh sumber kewangan dalaman Merdeka Center. – 10 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen